fb fb fb fb fb

Kerajaan UK haramkan rokok elektronik pakai buang, elak digunakan kanak-kanak

Foto hiasan/ REUTERS

LONDON, 29 Januari- Perdana Menteri Britain Rishi Sunak akan mengumumkan rancangan untuk mengharamkan penjualan rokok elektronik pakai buang bagi menghalang penggunaannya oleh kanak-kanak, dan mengulangi hasrat kerajaan untuk memperkenalkan undang-undang bagi menghalang generasi muda daripada membeli tembakau.

Menerusi pengenalan kepada undang-undang baharu itu, terdapat sekatan pada perisa rokok elektronik, keperluan untuk pembungkusan biasa, dan perubahan pada cara rokok tersebut dipaparkan untuk menjadikannya kurang menarik kepada kanak-kanak.

"Selain komitmen kami untuk menghentikan kanak-kanak berumur 15 tahun tahun ini atau lebih muda daripada terlibat dengan rokok, perubahan ini akan meninggalkan legasi berkekalan dengan melindungi kesihatan anak-anak kami untuk jangka panjang," kata Sunak dalam satu kenyataan.

Merokok adalah pembunuh terbesar di Britain dan dianggarkan satu daripada empat kematian adalah berkaitan dengan kanser, atau kira-kira 80,000 setahun, kata kerajaan.

Pada Oktober, Sunak mengumumkan rancangan untuk meluluskan undang-undang bagi sesiapa yang lahir pada atau selepas 1 Januari 2009, tidak akan dapat membeli tembakau sepanjang hayat mereka.

Walaupun rokok elektronik dilihat sebagai kaedah untuk membantu orang ramai berhenti merokok, namun terdapat kebimbangan mereka boleh mendorong ketagihan nikotin dalam kalangan golongan muda, dengan sembilan peratus daripada kumpulan umur 11 hingga 15 tahun kini menggunakannya, kata kerajaan.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata pada Disember semua perisa rokok tersebut harus diharamkan.

Bagaimanapun, kumpulan industri dan Persatuan Industri Vaping UK berpendapat, rokok elektronik menimbulkan risiko kesihatan jauh lebih rendah berbanding tembakau, dan pelbagai perisa adalah kunci dalam menggalakkan perokok untuk berubah.

"Saya mempunyai kewajipan untuk melakukan perkara yang betul untuk negara kita dalam jangka panjang," kata Sunak.

"Itulah sebabnya saya mengambil tindakan berani untuk mengharamkan rokok elektronik pakai buang yang telah mendorong peningkatan dalam kalangan belia dan membawa kuasa baharu untuk menyekat serta memperkenalkan pembungkusan biasa dan mengubah cara ianya diiklankan di kedai."

Kerajaan berkata, larangan rokok elektronik pakai buang akan membantu alam sekitar, dengan lima juta dibuang setiap minggu.- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI