fb fb fb fb fb

Kerajaan Jepun-China rancang pertemuan pertengahan November

(Presiden China, Xi Jinping/AFP)

TOKYO, 4 November- Kerajaan Jepun dan China mula merancang pertemuan yang melibatkan Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida dan Presiden China, Xi Jinping pada pertengahan November, lapor akhbar Sankei.

Menurut laporan Sankei, pertemuan tersebut dijangka akan diadakan semasa berlangsungnya persidangan antarabangsa di Asia Tenggara.

Sidang kemuncak terbaharu China-Jepun diadakan pada 2019, ketika Xi bertemu dengan Perdana Menteri ketika itu, Shinzo Abe di Beijing. Xi telah menetapkan untuk melawat Jepun pada 2020 sebagai tetamu negara, bagaimanapun, lawatan itu ditangguhkan susulan penularan wabak COVID-19.


(Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida/AFP)

Sementara itu, Ketua Setiausaha Kabinet, Hirokazu Matsuno memberitahu sidang akhbar bahawa tiada apa yang diputuskan mengenai mesyuarat sidang kemuncak dengan China itu, bagaimanapun, katanya penting untuk mengekalkan dialog di pelbagai peringkat.

"Melalui usaha kedua-dua kerajaan, kami menyasarkan untuk membina hubungan yang membina dan stabil dengan China, di mana dialog dikekalkan dan kerjasama berlaku dalam perkara-perkara yang memberi cabaran bersama," kata Matsuno.

Pertemuan antara Xi dan Kishida dijangka diadakan di luar Sidang Kemuncak G20, di Indonesia pada 15 hingga 16 November, atau pada pertemuan antara pemimpin negara-negara Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) pada 18 hingga 19 November di Bangkok, kata Sankei.

Hubungan dua hala itu dingin selepas China melepaskan peluru berpandu balistik ke perairan berhampiran Jepun sebagai sebahagian latihan ketenteraan yang dilancarkan Beijing berikutan lawatan Speaker Dewan Rakyat A.S. Nancy Pelosi ke Taiwan pada Ogos lalu.

Media Baharu