fb fb fb fb fb

Keputusan pilihan raya: Calon Presiden Indonesia Anies Baswedan fail aduan ke mahkamah

Anies Baswedan merancang untuk mencabar keputusan pemilihan presiden di mahkamah tertinggi/ REUTERS

JAKARTA, 13 Mac- Calon Presiden Indonesia Anies Baswedan merancang untuk memfailkan aduan di Mahkamah Perlembagaan negara itu berhubung keputusan pilihan raya bulan lalu.

Keputusan tidak rasmi menunjukkan Menteri Pertahanan, Prabowo Subianto, yang mendapat sokongan daripada Presiden Joko Widodo, memenangi undian pada 14 Februari dengan hampir 60 peratus undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya Indonesia dijangka akan mengumumkan keputusan rasmi pada 20 Mac ini.

Anies yang juga bekas gabenor Jakarta, berkata beliau merancang untuk memfailkan aduan selepas keputusan rasmi diumumkan, bagaimanapun beliau tidak memberikan butiran lanjut mengenai perkara terbabit.

"Kami bercadang untuk memfailkan kepada Mahkamah Perlembagaan, namun kandungannya bukanlah sesuatu yang boleh kami dedahkan," katanya kepada pemberita.

Tindakan itu dibuat ketika parti-parti yang menyokong Anies dan seorang lagi calon presiden, Ganjar Pranowo, bersiap sedia untuk melancarkan siasatan parlimen terhadap tindakan kerajaan menjelang hari pengundian dan dakwaan pelanggaran peraturan pilihan raya.

Walaupun Mahkamah Perlembagaan lazimnya mengendalikan pertikaian pilihan raya, namun Parlimen Indonesia mempunyai kuasa untuk menyiasat dasar kerajaan atau pelaksanaan peraturan tertentu dan boleh meneliti tindakan penjawat awam, termasuk Presiden.

Prabowo dilihat telah menyapu bersih undi pada Pilihan Raya Presiden dan dipercayai mendapat sokongan tidak rasmi daripada bekas Presiden dan perkara terbabit dikatakan telah melanggar etika pilihan raya di negara berkenaan. - REUTERS

ZEHRA BINTI ZAMBRI