fb fb fb fb fb

Keputusan menentang Israel sebagai langkah ke arah keadilan - Afrika Selatan

Foto Reuters

JOHANNESBURG, 27 Januari - Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa memuji keputusan Mahkamah Dunia pada Jumaat yang mengenakan langkah tergempar terhadap Israel berhubung perang di Gaza sebagai langkah ke arah keadilan dan berharap Israel dapat mematuhinya

Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengarahkan Israel mengambil semua langkah dalam bidang kuasanya untuk menghalang tenteranya daripada melakukan pembunuhan beramai-ramai, menghukum tindakan menghasut dan mengambil langkah untuk memperbaiki keadaan ketika ia melancarkan perang terhadap militan Hamas di Semenanjung Gaza.

"Kami, sebagai orang Afrika Selatan, tidak akan menjadi penonton yang pasif dan melihat jenayah yang berlaku ke atas kami dilakukan di tempat lain," kata Ramaphosa dalam ucapannya kepada negara itu, merujuk kepada penderaan yang dilakukan terhadap warga kulit hitam Afrika Selatan di bawah sistem apartheid.

"Kami menjangkakan Israel, sebagai sebuah negara demokrasi yang mengisytiharkan dirinya sendiri dan negara yang menghormati kedaulatan undang-undang, untuk mematuhi langkah-langkah itu."

Israel telah menyelar dakwaan Afrika Selatan mengenai pembunuhan beramai-ramai palsu dan "diputarbelitkan."

Membawa kes itu ke mahkamah tertinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) telah menjadi kemenangan diplomatik besar bagi Afrika Selatan, yang telah lama memperjuangkan perjuangan rakyat Palestin, menyamakan nasib mereka dengan rakyatnya sendiri yang tertindas di bawah apartheid.

Ramaphosa menyaksikan prosiding ICJ bersama rakan-rakan ahli parti Kongres Nasional Afrika (ANC) yang memerintah pada perhimpunan di luar Johannesburg.

"Kami pada dasarnya telah mengambil langkah pertama untuk menamatkan keganasan terhadap rakyat Palestin yang tidak bersalah. Kami sangat gembira dengan penghakiman itu," kata pegawai ANC di Cape Town, Justin de Allende, kepada Reuters.-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN