fb fb fb fb fb

Kemusnahan Gaza 'sambut' kepulangan lebih 100 tahanan Palestin

Foto AFP

KHAN YUNIS, 9 Februari- Lebih 100 rakyat Palestin yang dibebaskan pada Sabtu kembali ke Gaza dan mendapati keadaan di wilayah itu yang telah musnah selepas lebih setahun peperangan dan kebanyakan tahanan tidak mengetahui nasib insan tersayang.

"Bagaimana keadaan keluarga saya? Adakah mereka masih hidup?" tanya seorang tahanan dari tingkap bas semasa tiba di Khan Yunis di selatan Gaza.

"Adakah dalam keluarga saya ada yang terkorban? jeritnya lagi sebelum satu suara di khalayak ramai menjawab.

"Mereka semua ok," jawabnya.

Secara keseluruhan, 183 rakyat Palestin dibebaskan dari penjara Israel semalam sebagai pertukaran untuk tiga warga Israel yang ditahan di Gaza. Pertukaran tersebut sebagai sebahagian daripada perjanjian gencatan senjata yang berkuat kuasa di Gaza.

Daripada tahanan yang dibebaskan, 41 kembali ke bandar Ramallah Tebing Barat, empat dibebaskan di Baitulmaqdis Timur yang dikuasai Israel, tujuh dihantar pulang ke Mesir dan 131 dihantar ke Gaza.

Melangkah dari kenderaan sewaan Palang Merah di wilayah Palestin, ada tahanan yang kelihatan letih dan lemah, manakala yang lain bergembira, ingin melihat wajah yang tersayang.

Ahli keluarga, rakan-rakan dan insan yang mengenali dalam khalayak ramai berkerumun ke arah tahanan yang pulang, ingin menyentuh mereka, berjabat tangan atau merakam saat-saat itu.

Menerusi pembesar suara, bergema laungan penduduk Palestin yang ramai.

Khadra al-Daghma, hampir rebah ketika mendekati anaknya sebelum berpelukan serta mencium dahi anaknya.

"Hari ini, saat yang dinantikan. Saya sangat gembira... saya menunggu hari ini tiba selama 15 tahun", katanya. Beliau dikelilingi sanak-saudara dengan linangan air mata.

Tahanan yang dibebaskan, yang sebahagiannya tidak berjumpa selama beberapa dekad, sedang berpelukan dan menangis.

"Dia sangat berubah", kata al-Daghma selepas memegang anaknya Amar, yang ditahan pada 2009 dalam pelukannya.

Tentera Israel membedil Gaza berterusan selama lebih 15 bulan, sejak Oktober 2023.

Wilayah yang miskin sebelum perang terbaharu ini, kini tinggal runtuhan.

Menurut Kementerian Kesihatan Hamas, lebih 48,000 penduduk Palestin terkorban dan lebih 111,000 orang cedera.

Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) berkata lebih 90 peratus rakyat Palestin di Gaza kehilangan tempat tinggal.

Tahanan yang pulang ke Gaza selepas gencatan senjata berkuat kuasa pada 19 Januari lalu, terpaksa memasang khemah di sebelah rumah lama mereka, yang telah musnah.

"Selama enam bulan kami ditahan, kami dipisahkan sepenuhnya dari dunia, kami tidak mendapat maklumat mengenai perang di Gaza", kata Mohammed, seorang tahanan yang dibebaskan. Skala kemusnahan mengejutkan kami, Gaza hancur, runtuhan di mana-mana", katanya.

"Dengan pendudukan (Israel) di Gaza, saya khuatir mereka akan menangkap kami lagi pada bila-bila masa", katanya.- AFP

ROSLINA BINTI DIN