ISTANBUL, 9 Februari- Negara-negara Arab pada Sabtu mengecam cadangan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu untuk menubuhkan sebuah negara Palestin di Arab Saudi, menyifatkannya sebagai pencabulan terhadap kedaulatan kerajaan itu dan undang-undang antarabangsa dengan memaksa rakyat Palestin meninggalkan tanah air mereka.
Kementerian Luar Palestin dalam satu kenyataan menyifatkan cadangan Netanyahu sebagai "bersifat perkauman dan anti-perdamaian" serta pelanggaran terhadap kedaulatan dan kestabilan Arab Saudi, lapor Agensi Anadolu.
Kenyataan itu menyatakan sokongan penuh kepada Arab Saudi dalam menghadapi provokasi Israel dan menggesa masyarakat antarabangsa untuk mengecam kenyataan Netanyahu.
Setiausaha Agung Jawatankuasa Eksekutif Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) Hussein Al-Sheikh, berkata kenyataan Israel itu menyasarkan kedaulatan Arab Saudi dan menyifatkan pandangan Netanyahu sebagai "pelanggaran undang-undang serta konvensyen antarabangsa."
"Negara Palestin hanya akan wujud di tanah Palestin," katanya dalam hantaran di akaun X.
Beliau turut memuji pendirian Arab Saudi yang sentiasa menegaskan kepentingan pelaksanaan ketetapan antarabangsa serta komitmennya terhadap penyelesaian dua negara sebagai asas kepada keselamatan, kestabilan dan keamanan di rantau ini.
Mesir turut mengecam kenyataan Netanyahu sebagai "tidak bertanggungjawab dan sama sekali tidak boleh diterima."
Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar Mesir menegaskan bahawa negara itu menolak sepenuhnya kenyataan semberono yang mengancam keselamatan dan kedaulatan Arab Saudi.
"Kestabilan dan keselamatan negara Saudi adalah sebahagian daripada kestabilan dan keselamatan Mesir serta negara-negara Arab yang tidak boleh dikompromi," menurut kenyataan itu.
Mesir, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Sudan menganggap kenyataan Israel itu sebagai pelanggaran terang-terangan terhadap undang-undang antarabangsa dan Piagam Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).
Sementara itu, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) menyifatkan kenyataan bersifat perkauman ini sebagai sebahagian daripada penafian berterusan Israel terhadap hak sejarah, politik dan perundangan rakyat Palestin ke atas tanah air mereka.
OIC turut mengulangi "penolakan dan kecaman terhadap sebarang rancangan atau usaha untuk mengusir rakyat Palestin dari tanah mereka, yang dianggap sebagai satu bentuk pembersihan etnik, jenayah, dan pelanggaran serius terhadap undang-undang antarabangsa."
Netanyahu sebelum ini mencadangkan agar Palestin ditubuhkan di Arab Saudi dan bukan di tanah air mereka sendiri, menolak sebarang pengiktirafan terhadap kedaulatan Palestin.- BERNAMA-AA