TEHRAN, 9 Februari- Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, mengecam cadangan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump untuk memindahkan penduduk Palestin keluar dari Gaza.
Beliau menyifatkan ia sebagai ancaman kepada kestabilan dan keselamatan di Asia Barat.
"Pengusiran paksa rakyat Palestin dari Gaza adalah sebahagian daripada rancangan kolonial untuk menghapuskan Palestin," kata Araghchi dalam panggilan telefon bersama rakan sejawatnya dari Mesir, Badr Abdelatty, lewat Sabtu, menurut kenyataan Kementerian Luar Iran.
Cadangan Trump untuk AS mengambil alih Gaza dan menempatkan semula penduduknya, pertama kali diumumkan pada Selasa dalam pertemuan di White House bersama Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, mencetuskan kecaman meluas.
Araghchi menegaskan bahawa rancangan itu menjadi ancaman serius terhadap kestabilan dan keselamatan rantau tersebut.
Presiden AS itu mencadangkan agar penduduk Gaza dipindahkan ke Mesir atau Jordan.
Namun, kedua-dua negara telah menolak cadangan tersebut dengan tegas.
Menurut Araghchi, negara-negara Islam perlu mengambil pendirian tegas dan bersatu menentang projek berkenaan.
Pada hari sama, beliau turut mengadakan perbincangan dengan rakan sejawatnya dari Tunisia dan Turkiye mengenai situasi di Gaza.
Perbincangan itu berlangsung selepas pertemuan pegawai Hamas dengan Pemimpin Agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei, di Tehran, pertemuan pertama sejak gencatan senjata yang rapuh antara Israel dan Hamas mulai 19 Januari lalu.
Usaha itu sekali gus menghentikan lebih 15 bulan konflik berdarah.
Iran, yang merupakan penyokong kuat Hamas, telah lama menjadikan perjuangan Palestin sebagai asas utama dasar luar negaranya sejak Revolusi Islam 1979.
Tehran juga tidak mengiktiraf kewujudan Israel.- AFP