fb fb fb fb fb

New Zealand bimbang perjanjian strategik Cook Islands-China

Perdana Menteri Cook Islands, Mark Brown/Foto Media Sosial

SYDNEY, 9 Februari- Menteri Luar New Zealand menyuarakan kebimbangan besar pada Ahad ketika rakan rapatnya di Pasifik, Cook Islands, bersiap sedia untuk menandatangani perjanjian kerjasama dengan China.

Perdana Menteri Cook Islands, Mark Brown, dijadual melakukan lawatan negara ke Beijing minggu depan.

Beliau dijangka menandatangani "pelan tindakan bersama" untuk "perkongsian strategik komprehensif" dengan China.

Lawatan itu berlangsung pada saat yang sensitif, ketika China semakin berusaha untuk mengukuhkan pengaruh diplomatik, ekonomi dan ketenteraannya di rantau Pasifik.

Ini sekali gus mencabar dominasi tradisional Amerika Syarikat (AS), New Zealand dan Australia.

Jurucakap Menteri Luar New Zealand, Winston Peters berkata kerajaan Cook Islands tidak memaklumkan Wellington mengenai perjanjian itu.

"Kami beranggapan bahawa Cook Islands telah gagal untuk berunding dengan New Zealand secara sewajarnya berkenaan sebarang perjanjian yang dirancang untuk ditandatangani di China minggu ini.

Kekurangan perundingan ini merupakan satu kebimbangan besar kepada kerajaan New Zealand," katanya dalam satu kenyataan.

Cook Islands adalah sebuah negara kecil yang memiliki pemerintahan sendiri di Pasifik dan mempunyai perjanjian "persatuan bebas" dengan New Zealand.

Wellington memberikan sokongan bajet serta bantuan dalam hal ehwal luar negeri dan pertahanan kepada bekas wilayah tanggungannya itu, yang mempunyai 17,000 penduduk dengan kewarganegaraan New Zealand.

New Zealand menegaskan bahawa ia perlu dirujuk mengenai sebarang perjanjian antarabangsa yang berpotensi memberi kesan kepada kepentingan strategik dan keselamatan negara itu.

Menurut jurucakap Peters, berdasarkan perjanjian tersebut, ia akan membolehkan New Zealand mengesahkan sama ada ia menimbulkan risiko terhadap kepentingan nasional teras New Zealand.

Brown mempertahankan lawatan tersebut pada Khamis lalu, dengan menyatakan bahawa ia bertujuan memperluas peluang ekonomi sambil memastikan kedaulatan dan kepentingan negara kami kekal menjadi keutamaan.- AFP

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM