fb fb fb fb fb

Kementerian Luar Palestin sambut baik sokongan antarabangsa terhadap keahlian penuh Palestin dalam PBB

Foto AFP

RAMALLAH, 11 Mei- Kementerian Luar Negeri dan Ekspatriat Palestin mengalu-alukan jumlah undian besar di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mengesahkan hak Negara Palestin untuk mendapat keahlian penuh PBB serta keistimewaan tambahan dalam pelbagai institusi dan badan PBB.

Dalam satu kenyataan akhbar, kementerian menegaskan bahawa undian ini mengesahkan Palestin memenuhi semua syarat yang ditetapkan dalam Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, khususnya Perkara 4, sekali gus menegaskan kelayakannya untuk keahlian penuh dalam PBB, lapor Agensi Berita dan Maklumat Palestin.

Undian itu diluluskan dengan sokongan besar iaitu 143 negara menyokong, sembilan menentang dan 25 berkecuali.

Kementerian menegaskan bahawa undian pada Jumaat itu, adalah mesej yang jelas oleh masyarakat antarabangsa tentang hak semula jadi, sah di sisi undang-undang dan sejarah rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri, aspirasi mereka untuk pembebasan dan kemerdekaan serta hak untuk hidup di tanah mereka dalam keadaan selamat dan aman seperti rakyat lain di dunia.

Kementerian menganggap langkah ini sebagai sebahagian daripada usaha untuk melindungi penyelesaian dua negara dengan menamatkan penjajahan kolonial dan rejim aparteid Israel, serta mencapai keamanan dan kestabilan di rantau ini.

Ia menekankan bahawa mengukuhkan status Palestin di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu akan mempromosikan keamanan dan penyelesaian berdasarkan diplomasi pelbagai hala, selaras dengan undang-undang antarabangsa dan hak rakyat Palestin yang tidak boleh dipisahkan.

Kementerian menyatakan penghargaan kepada negara-negara yang mengundi menyokong resolusi ini, memperbaharui gesaan kepada negara-negara yang menyokong penyelesaian dua negara serta keselamatan dan kestabilan rantau ini untuk mengiktiraf keperluan pengiktirafan dua hala terhadap Negara Palestin.

Ia juga menggesa negara-negara yang mengundi menentang resolusi itu dan yang berkecuali supaya mempertimbangkan semula pendirian mereka serta menyokong kebenaran, keadilan dan solidariti bersama rakyat Palestin dalam perjuangan mereka untuk mendapatkan hak mereka yang sah sepenuhnya, khususnya hak menentukan nasib sendiri, hak kepada negara yang merdeka, dan hak pelarian untuk kembali ke tanah air seperti yang ditetapkan oleh resolusi Perhimpunan Agung 194.- BERNAMA-WAFA

 

ROSLINA BINTI DIN