PHNOM PENH, 14 Julai - Kira-kira 100 juta benih ikan akan dilepaskan semula ke sungai oleh tiga negara Asia Tenggara - Kemboja, Laos dan Myanmar - bagi menambah stok ikan yang semakin berkurangan dan memulihkan rantaian makanan akuatik.
Inisiatif itu telah menjadi acara tahunan di ketiga-tiga negara berkenaan, di mana ikan memainkan peranan penting sebagai sumber pendapatan dan makanan bagi masyarakat setempat.
Laos dijangka melepaskan 65 juta benih ikan ke perairan semula jadinya tahun ini manakala Myanmar menyasarkan 35 juta dan Kemboja pula merancang untuk melepaskan 1.5 juta benih ikan.
Timbalan Menteri Pertanian dan Alam Sekitar Laos, Chanthakone Boualaphan berkata, Laos mempunyai kira-kira 500 spesies ikan, yang bukan sahaja menyumbang kepada keseimbangan ekologi malah merupakan sebahagian penting daripada warisan semula jadi negara itu.
"Mari kita lepaskan ikan dan haiwan akuatik kembali ke alam semula jadi agar mereka dapat terus hidup. Melindungi ikan dan haiwan akuatik adalah tanggungjawab seluruh negara," katanya sempena Hari Perlepasan Ikan dan Haiwan Akuatik Kebangsaan pada 13 Julai.
Di Myanmar, pihak berkuasa turut melaksanakan strategi serupa untuk memulihkan biodiversiti akuatik di sungai mereka. Sungai utama seperti Ayeyarwady, Thanlwin, Chindwin dan Sittaung dikenal pasti sebagai antara yang akan menerima manfaat daripada usaha pemulihan itu, yang biasanya dilaksanakan pada musim monsun.
Pada Sabtu, pegawai Myanmar melepaskan 100,000 benih ikan – khususnya ikan kap emas, rohu dan lampam jawa – ke dalam Empangan Yezin di Nay Pyi Taw. Sejak 2011, sejumlah 885,700 benih ikan telah dilepaskan ke empangan itu dalam 11 sesi.
Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet turut menyertai sambutan Hari Ikan Kebangsaan pada 1 Julai lalu, di mana sebanyak 1.5 juta ikan, benih ikan dan haiwan akuatik dilepaskan ke dalam Tasik Tonle Sap di Phnom Penh.
Industri perikanan kekal sebagai tonggak ekonomi penting bagi ketiga-tiga negara agraria itu, dengan jutaan nelayan bergantung kepada hasil tangkapan sebagai sumber mata pencarian.
Kemboja menghasilkan hampir 926,000 tan metrik ikan menerusi sektor perikanan dan akuakultur pada 2024, termasuk 470,000 tan metrik ikan air tawar.
Sementara itu, Myanmar menjana RM1.8 bilion (US$421 juta) daripada eksport 400 tan metrik ikan sepanjang tahun fiskal 2024-2025 (April-Mac), menurut Jabatan Perikanannya. Antara spesies ikan utama yang dieksport ialah ikan keli, hilsa, rohu dan siakap.
Pada tahun lalu, kadar penggunaan ikan per kapita tahunan ialah 30 kilogram di Laos, 42 kg di Myanmar dan 52 kg di Kemboja.- BERNAMA