NEW DELHI, 14 Julai - Dua persatuan juruterbang komersial utama di India menolak dakwaan nahas pesawat Air India berpunca daripada kesilapan manusia.
Persatuan berkenaan mendakwa tuduhan tersebut akan menjejaskan profesionalisme juruterbang.
Siasatan awal mendapati nahas pesawat yang mengorbankan 260 orang berkenaan, terhempas kerana suis bahan bakar enjinnya dimatikan.
Laporan Biro Siasatan Kemalangan Pesawat India (AAIB), mendedahkan, suis berkenaan hanya boleh digerakan secara manual.
AAIB turut mendedahkan perbualan antara kedua-dua juruterbang pesawat berkenaan.
Salah seorang juruterbang bertanyakan mengapakah suis berkenaan dimatikan kepada rakannya, namun juruterbang kedua menafikan dia berbuat demikian dan tidak mengetahui mengapa suis bahan api enjin itu tertutup.
Persatuan juruterbang India juga menolak spekulasi umum yang mendakwa juruterbang pesawat Air India berkenaan sengaja menyebabkan nahas kerana membunuh diri.
Penemuan siasatan awal itu mencetuskan spekulasi dalam kalangan pakar penerbangan bebas, bahawa tindakan juruterbang yang disengajakan atau tidak disengaja mematikan suis bahan bakar enjin mungkin menyebabkan pesawat Boeing 787-8 Dreamliner yang menuju ke London itu terhempas sejurus selepas berlepas dari Ahmedabad di barat India.
Persatuan Juruterbang Syarikat Penerbangan India mendakwa agensi penyiasatan nahas tersebut tidak telus dan tidak mendapatkan khidmat kakitangan yang lebih sesuai.-AFP