JERUSALEM, 22 Julai- Jumlah kematian akibat demam Nil Barat di Israel meningkat kepada 38 orang pada Ahad, menurut Kementerian Kesihatan Israel, lapor Xinhua.
Kes jangkitan virus itu juga meningkat kepada paras tertinggi tahunan sepanjang masa sebanyak 566 sejak awal Mei, menurut angka kementerian.
Lebih separuh individu yang dijangkiti berumur 60 tahun atau lebih, dengan lebih 100 pesakit berumur 80 tahun ke atas. Selain itu, terdapat sekurang-kurangnya empat kanak-kanak berumur sembilan tahun ke bawah dan 20 kes melibatkan individu berumur antara 10 dan 19 tahun.
Kebanyakan jangkitan yang dikesan setakat ini berada di tengah Israel, di samping beberapa kes di bandar utara Haifa dan bandar gurun Negev di Beer Sheva di selatan, kata kementerian itu.
Dilaporkan bahawa walaupun bilangan kes yang tinggi tahun ini, tiada ciri klinikal luar biasa manifestasi penyakit itu dikenal pasti dengan jelas dalam kalangan pesakit. - BERNAMA-XINHUA