REHOBOTH BEACH, 22 Julai- Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden mengumumkan beliau akan berundur daripada persaingan pemilihan semula presiden dan menyatakan sokongan terhadap Naib Presiden, Kamala Harris sebagai calon baharu Parti Demokrat bagi pilihan raya 2024.
Biden, 81, berkata, beliau membuat keputusan itu demi "kepentingan parti dan negara" selepas desakan semakin meningkat dalam Parti Demokratnya sendiri, serta kebimbangan mengenai umur, juga kecergasan mentalnya.
Sebelum ini, penarikan diri Biden telah dijangka secara meluas dan pengumuman itu akhirnya berlaku ketika beliau baru pulih daripada jangkitan COVID-19.
Beliau tidak pernah dilihat di khalayak ramai sejak diuji positif COVID-19 minggu lalu dan mengasingkan diri di rumahnya di Pantai Rehoboth, Delaware.
Semalam, Biden dalam catatan di X berkata, beliau akan kekal dalam peranannya sebagai Presiden dan Ketua Komander sehingga tempohnya berakhir pada Januari 2025.
"Walaupun sudah menjadi hasrat saya untuk dipilih semula, saya percaya adalah demi kepentingan terbaik parti saya dan negara untuk saya berundur dan menumpukan perhatian semata-mata untuk memenuhi tugas saya sebagai Presiden untuk baki penggal saya," katanya.
Kempen Biden berada di hujung tanduk sejak perdebatan pada 27 Jun lepas menentang bekas Presiden yang juga calon Republikan, Donald Trump, 78, dengan Biden dilihat kadang-kala bergelut.
Desakan dalam partinya semakin hangat sejak minggu lalu dengan 36 anggota Kongres Demokrat secara terbuka menyeru beliau untuk menamatkan kempennya.
Jika mendapat sokongan parti, Harris, 59, bakal menentang Trump dan menjadi wanita kulit hitam pertama yang bertanding atas tiket parti utama dalam sejarah AS. -AFP