BEIRUT, 22 Julai- Kumpulan Hezbollah yang berpangkalan di Lubnan menyasarkan roket serta dron ke arah Israel sebagai tindak balas atas serangan Zionis di kawasan awam dekat bandar Adloun, semalam.
Sekurangnya-kurangnya enam orang awam mengalami kecederaan dalam serangan Israel pada tengah malam, hari sama, menurut Agensi Berita Nasional Lubnan.
Tiga pejuang Hezbollah turut terkorban, manakala dua lagi cedera namun tidak parah apabila menara pemerhati di selatan negara ditembak Israel.
Sebagai tindak balas, Hezbollah memaklumkan pejuangnya berjaya menyasarkan dua lokasi kependudukan tentera Israel di utara serta kawasan Dafna.
Tembakan rentas sempadan berlaku hampir setiap hari antara Hezbollah dan Israel sejak perang di Gaza tercetus pada 7 Oktober tahun lalu.
Lebih 500 orang telah terbunuh di Lubnan dengan lebih 100 korban adalah orang awam, manakala di pihak Israel merekodkan 18 tentera dan 13 orang awam mati. -AFP