fb fb fb fb fb

Enam termasuk bayi maut akibat kemarau di Papua

(Foto hiasan)

JAKARTA, 1 Ogos- Indonesia menghantar bantuan kecemasan ke wilayah paling timurnya di Papua yang dilanda kemarau sehingga meragut sekurang-kurangnya enam nyawa termasuk seorang bayi.

Pegawai Kanan Kementerian Hal Ehwal Sosial, Adrianus Alla berkata, depoh simpanan di bandar Timika dan Lapangan Sinik 'kosong' kerana semua bantuan telah diagihkan ke wilayah tersebut.

"Secara keseluruhan 17.1 tan bantuan telah dihantar ke wilayah miskin itu termasuk beribu-ribu paket makanan segera serta ratusan khemah dan selimut," katanya dalam kenyataan.

Ketua Agensi Mitigasi Bencana Nasional (BNPB), Suharyanto berkata, kemarau telah menjejaskan lebih 7,500 penduduk.

"Setiap tahun bencana berlaku di kawasan sama, tetapi tahun ini lebih ekstrem menyebabkan kematian dan ribuan lagi terpaksa dipindahkan.

"Sekurang-kurangnya enam orang mati akibat kebuluran dan dehidrasi," katanya.

Suharyanto berkata, kawasan paling terjejas hanya boleh diakses dengan motosikal, helikopter atau kapal terbang kerana keadaan muka bumi yang mencabar serta kehadiran puak pemisah yang telah melancarkan pemberontakan selama berdekad-dekad menentang pemerintahan Indonesia.

"Kawasan itu tidak lagi sesuai untuk didiami penduduk. Namun, memindahkan penduduk terutama orang Papua yang mempunyai adat, tradisi, dan pertalian budaya ke lokasi lain bukanlah mudah," katanya.

Kemarau pernah melanda wilayah itu pada 2015 dan 2019.

Terdahulu, Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) mengeluarkan amaran kepada dunia untuk bersiap sedia menghadapi kesan berpanjangan fenomena El Nino, yang berlaku secara purata setiap dua hingga tujuh tahun dengan episod yang biasanya berlangsung semalam sembilan hingga 12 bulan. -AFP

(Foto hiasan)

Media Baharu