fb fb fb fb fb

Banteras tabiat merokok, Kanada kuat kuasa semula label amaran kesihatan

FOTO AFP

OTTAWA, 2 Ogos- Setiap kotak rokok yang dijual di Kanada, kini disertakan dengan label amaran kesihatan yang tertera "rokok menyebabkan mati pucuk dan kanser" dan "terdapat racun dalam setiap sedutan".

Peraturan pelabelan itu diumumkan pada bulan Mei lalu, bertujuan untuk membanteras tabiat merokok masyarakat.

Menteri Kesihatan Mental dan Penagihan Kanada ketika itu, Carolyn Bennett berkata label amaran baharu itu akan turut disertakan bersama imej grafik sekali gus memberi peringatan kesihatan tentang akibat merokok.

Kerajaan Kanada menyatakan bahawa golongan muda sangat terdedah kepada risiko pergantungan tembakau, bermula dengan pemberian sebatang rokok berbanding mendapatkan sekotak rokok yang dilabelkan dengan amaran kesihatan.

Pada tahun 2000, Kanada mula menguatkuasakan amaran grafik pada pek rokok termasuk gambar mengerikan jantung dan paru-paru yang berpenyakit untuk meningkatkan kesedaran tentang bahaya kesihatan yang berkaitan dengan penggunaan tembakau.


(Foto Hiasan/AFP)

Trend merokok telah menurun sejak dua dekad yang lalu.

Namun, menurut data kerajaan, penggunaan tembakau terus membunuh 48,000 rakyat Kanada setiap tahun, dan hampir separuh daripada kos penjagaan kesihatan negara itu dikaitkan dengan penggunaan bahan berbahaya.

Ottawa menyasarkan untuk mengurangkan lagi bilangan perokok di negaranya kepada lima peratus daripada populasi atau kira-kira 2 juta orang, menjelang 2035.- AFP

Media Baharu