fb fb fb fb fb

Keluarga tuntut keadilan terhadap kematian Malcolm X

(FOTO AFP)

WASHINGTON, 22 Februari - Keluarga aktivis hak asasi Amerika Syarikat (AS) terkenal, Malcolm X akan memfailkan saman AS$100 juta terhadap beberapa agensi penguatkuasa negara itu berhubung kematian bapanya, 58 tahun lalu.

Antara yang disenaraikan untuk tindakan undang-undang itu termasuk Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI), Agensi Siasatan Pusat (CIA) dan polis New York yang didakwa 'menyembunyikan bukti' membabitkan pembunuhan aktivitis terkenal itu.

Pengumuman itu dibuat peguam hak asasi, Ben Crump serta anak perempuan Malcolm X, Qubilah Shabazz dan Ilyasah Shabazz di Pusat Memorial dan Pendidikan Malcolm X dan Dr Betty Shabazz, pada sidang media semalam.

(Ilyasah Shabazz (tengah), anak perempuan aktivis Afrika-Amerika Malcolm X bercakap
bersama peguam hak sivil Ben Crump (kiri) dan peguam bersama Ray Hamlin (kanan)
semasa sidang akhbar di New York / FOTO AFP)

"Kami juga akan mendapatkan keadilan untuk lelaki Malcolm X yang pada waktu itu berusia 39 tahun yang terkorban ketika memperjuangkan hak asasi manusia.

"Selama bertahun-tahun, keluarga kami mencari kebenaran berhubung pembunuhannya. Kami mahu bapa kami mendapat keadilan sewajarnya.Kebenaran mengenai keadaan hingga membawa kepada kematian bapa kami bukan sahaja penting kepada keluarga kami, tetapi juga ramai pengikutnya, yang menjadikan beliau sebagai panduan," kata Ilyasah Shabazz.

Shabazz menuduh agensi persekutuan dan tempatan New York sengaja menyembunyikan bukti konspirasi dan perancangan untuk membunuh Malcolm X.

Crump berkata, anak perempuan Malcolm X berhak mengetahui semua fakta berkaitan kematian bapa mereka.

"Atas ketidakadilan yang teruk ini, kami akan memfailkan saman terhadap entiti kerajaan sebanyak $100 juta bagi pihak anak perempuannya", kata Crump.

Jabatan Polis New York dalam pada itu enggan mengulas proses perundangan yang masih berjalan.

Malcolm X raih populariti sebagai jurucakap gerakan pro Islam yang dikenali sebagai 'Nation of Islam'.

Beliau menghabiskan sedekad dengan gerakan itu, sebelum didakwa mula mengeluarkan kenyataan perkauman yang mengundang kontroversi.

Malcolm X ditembak tiga lelaki ketika bersedia untuk berucap di satu jelajah di New York pada 21 Februari 1965.-AFP

Media Baharu