fb fb fb fb fb

Isaacman digugurkan, Trump cari calon baharu terajui NASA

Foto REUTERS

WASHINGTON, 1 Jun-Presiden AS Donald Trump merancang untuk menarik balik pencalonan jutawan teknologi Jared Isaacman sebagai ketua NASA, menurut kenyataan White House pada Sabtu.

Disember tahun lepas, Trump membayangkan hasratnya untuk untuk melantik Isaacman, seorang usahawan dalam bidang pembayaran dalam talian dan angkasawan persendirian pertama yang melakukan aktiviti luar angkasa sebagai Ketua NASA yang baharu.

Namun menurut laporan New York Times, Trump akan menarik balik pencalonan itu selepas mengetahui bahawa Isaacman pernah menderma kepada tokoh-tokoh Demokrat terkenal.

Sumber yang tidak dinamakan memaklumkan keputusan itu dibuat selepas maklumat tersebut sampai kepada Trump.

Langkah berkenaan dilihat sebagai tamparan kepada Elon Musk, yang pada Jumaat meletakkan jawatan sebagai ketua Jabatan Kecekapan Amerika Syarikat jabatan khas yang diwujudkan di bawah pentadbiran Trump.

Musk dilaporkan secara peribadi melobi Trump supaya Isaacman yang mempunyai hubungan perniagaan besar dengan syarikat angkasanya, SpaceX dilantik ke jawatan tertinggi di NASA, sekali gus menimbulkan kebimbangan berhubung wujudnya konflik kepentingan.

Selepas berita itu tersebar, Musk menulis di X bahawa “jarang sekali kita jumpa seseorang yang begitu cekap dan berhati baik,” merujuk kepada Isaacman.

Isaacman, 42 tahun, merupakan pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Shift4 Payments, dan telah menjadi tokoh utama dalam sektor penerbangan angkasa komersial menerusi kerjasama rapatnya dengan SpaceX.

Beliau mencatat sejarah pada September lalu apabila menjadi angkasawan bukan profesional pertama melakukan spacewalk, dengan keluar dari kapsul Crew Dragon untuk melihat Bumi dari angkasa.-REUTERS.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD