VIENNA, 31 Mei – Iran dituduh menjalankan aktiviti nuklear rahsia menggunakan bahan yang tidak diisytihar kepada Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) di tiga lokasi berbeza yang telah lama disiasat, menurut laporan sulit agensi itu yang dilihat Reuters.
Laporan menyeluruh yang diminta oleh Lembaga Gabenor IAEA terdiri daripada 35 negara itu membuka jalan untuk Amerika Syarikat, Britain, Perancis dan Jerman mengemukakan resolusi bagi mengisytiharkan Iran melanggar obligasi bukan penyebaran nuklear (non-proliferation).
Sekiranya diluluskan, ia akan menjadi kali pertama dalam tempoh 20 tahun Iran didapati secara rasmi tidak mematuhi perjanjian antarabangsa.
Iran menolak laporan itu, menyifatkannya bermotifkan politik.
Kementerian Luar dan agensi nuklear Iran dalam kenyataan bersama berkata mereka akan mengambil “langkah sewajarnya” sekiranya tindakan dikenakan dalam mesyuarat Lembaga Gabenor akan datang.
Menurut laporan tersebut, Iran gagal mengisytihar bahan dan aktiviti berkaitan nuklear di tiga lokasi iaitu di Lavisan-Shian, Varamin dan Turquzabad.
Di Lavisan-Shian, satu cakera logam uranium didapati digunakan sekurang-kurangnya dua kali pada tahun 2003 dalam ujian menghasilkan "sumber neutron berpacu letupan", satu komponen penting dalam pembangunan senjata nuklear.
Laporan turut menyatakan bahan nuklear dan peralatan yang tercemar disimpan di Turquzabad antara 2009 dan 2018, dan menyimpulkan bahawa lokasi-lokasi ini merupakan sebahagian daripada program nuklear rahsia dan tersusun Iran sebelum tahun 2000-an.
Ketika ini, Iran masih gagal memberikan penjelasan terhadap kesan uranium yang ditemui di dua daripada empat tapak yang disiasat.
Dalam pada itu, Tahap kerjasama Iran dengan IAEA digambarkan sebagai “tidak memuaskan dalam beberapa aspek”.
Dalam laporan berasingan kepada negara anggota, IAEA mendedahkan bahawa stok uranium Iran yang diperkaya sehingga 60% kini meningkat hampir separuh kepada 408.6 kg — cukup untuk menghasilkan sembilan senjata nuklear jika diperkaya ke tahap 90%.
Situasi ini dijangka mencetuskan percepatan dalam program nuklear Iran serta menjejaskan rundingan dengan Amerika Syarikat, yang telah beberapa kali terhenti. Israel pula menyifatkan laporan IAEA itu sebagai bukti bahawa Iran bertekad untuk menyiapkan senjata nuklear dan menggesa tindakan segera daripada masyarakat antarabangsa.
Di Washington, Setiausaha Akhbar White House, Karoline Leavitt berkata bahawa utusan khas Presiden Donald Trump, Steve Witkoff, telah menghantar cadangan terperinci kepada Iran, dan menyeru Tehran agar menerima tawaran tersebut.
Menteri Luar Iran, Abbas Araqchi, dalam satu kenyataan di platform X berkata, Iran akan membalas cadangan tersebut “berdasarkan prinsip, kepentingan nasional dan hak rakyat Iran.”
Araqchi turut mengesahkan bahawa rakan sejawatnya dari Oman menyampaikan cadangan AS semasa lawatan singkat ke Tehran.
Pusingan keenam rundingan nuklear antara Washington dan Tehran dijangka berlangsung tidak lama lagi, walaupun tarikh dan lokasi masih belum diumumkan.-REUTERS.