TEHRAN, 1 Jun-Iran memberi amaran bahawa ia akan bertindak balas sekiranya kuasa-kuasa Eropah mengeksploitasi laporan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) yang menunjukkan peningkatan pengeluaran uranium oleh negara itu.
Amaran tersebut dikeluarkan pada Ahad susulan laporan sulit IAEA yang menyatakan bahawa Iran telah meningkatkan stok uranium yang diperkaya sehingga 60 peratus, iaitu hampir ke tahap 90 peratus yang diperlukan untuk menghasilkan senjata nuklear.
Menurut laporan yang dilihat oleh AFP, jumlah keseluruhan uranium yang diperkaya oleh Iran kini mencecah 9,247.6 kilogram iaitu 45 kali ganda had yang dibenarkan dalam perjanjian nuklear 2015 yang ditandatangani bersama kuasa-kuasa dunia termasuk Britain, Perancis dan Jerman.
Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa beliau telah menghubungi Ketua IAEA, Rafael Grossi, dan menyatakan bahawa Iran akan bertindak terhadap sebarang tindakan tidak wajar oleh pihak Eropah yang terlibat dalam perjanjian tersebut.
Araghchi turut menggesa Grossi agar memastikan pihak-pihak tertentu tidak menyalahgunakan laporan IAEA bagi mencapai matlamat politik mereka.
Terdahulu, ketiga-tiga negara Eropah tersebut memberi amaran bahawa mereka berkemungkinan akan mengenakan semula sekatan terhadap Iran sekiranya program nuklear negara itu menimbulkan ancaman kepada keselamatan benua Eropah.
Iran bagaimanapun menolak laporan IAEA tersebut dan menegaskan bahawa program nuklearnya adalah semata-mata untuk tujuan penjanaan tenaga awam. Republik Islam itu juga berulang kali menafikan dakwaan bahawa ia sedang membangunkan senjata nuklear.-AFP.