fb fb fb fb fb

Hamas sedia bebas tebusan, tetap tuntut pengunduran Israel

Foto REUTERS

GAZA, 1 Jun-Kenyataan Hamas bahawa pihaknya sedang mengkaji beberapa pindaan terhadap cadangan gencatan senjata sementara yang disokong oleh Amerika Syarikat dalam konflik dengan Israel di Gaza dianggap sebagai sama sekali tidak boleh diterima menurut utusan Presiden Donald Trump ke Asia Barat, Steve Witkoff.

Dalam satu hantaran di X, Witkoff berkata beliau telah menerima maklum balas Hamas dan menyifatkannya sebagai “sama sekali tidak boleh diterima serta membawa kita ke belakang.”

Beliau turut berkata Hamas sepatutnya menerima kerangka cadangan yang dikemukakan sebagai asas untuk rundingan tidak langsung yang boleh dimulakan segera minggu hadapan.

Kumpulan Palestin tersebut menyatakan kesediaan untuk membebaskan 10 tebusan yang masih hidup dan menyerahkan mayat 18 orang yang terkorban sebagai pertukaran kepada tahanan Palestin di penjara-penjara Israel. Namun, Hamas tetap menegaskan tuntutan utama mereka, iaitu pengakhiran perang dan pengunduran penuh tentera Israel dari Gaza — syarat-syarat yang telah ditolak oleh Israel.

Seorang pegawai Hamas menyifatkan respons mereka terhadap cadangan yang dikemukakan oleh utusan khas Presiden Trump ke Timur Tengah, Steve Witkoff, sebagai “positif,” namun menambah bahawa Hamas sedang meneliti beberapa pindaan. Bagaimanapun, beliau tidak memperincikan perubahan yang diminta.

“Respons ini bertujuan untuk mencapai gencatan senjata kekal, pengunduran sepenuhnya dari Semenanjung Gaza, serta memastikan kelangsungan bantuan kemanusiaan kepada rakyat kami,” kata Hamas dalam satu kenyataan.

Cadangan semasa itu mencadangkan gencatan senjata selama 60 hari serta pertukaran 28 daripada 58 tebusan yang masih ditahan di Gaza dengan lebih 1,200 tahanan Palestin, di samping kemasukan bantuan kemanusiaan ke wilayah berkenaan.

Setakat ini, tiada respons segera daripada pejabat Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, terhadap kenyataan Hamas tersebut.

Israel sebelum ini telah menolak syarat-syarat yang dikemukakan oleh Hamas. Sebaliknya, Israel menuntut pelucutan senjata sepenuhnya kumpulan itu, pembubarannya sebagai entiti ketenteraan dan pentadbiran, serta pemulangan semua 58 tebusan yang masih ditahan.-REUTERS.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD