AMMAN, 1 Jun- Menteri-menteri luar negara Arab yang merancang melawat Tebing Barat minggu ini mengecam tindakan Israel yang menghalang lawatan tersebut.
Menurut kenyataan Kementerian Luar Jordan, Menteri dari Arab Saudi, Mesir, Jordan, Bahrain dan Setiausaha Agung Liga Arab dijangka mengadakan pertemuan dengan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas di Ramallah pada Ahad.
Israel memaklumkan pada lewat Jumaat bahawa mereka tidak akan memberi kerjasama dan mengawal sempadan serta ruang udara di wilayah tersebut, sekali gus menggagalkan lawatan itu.
Kementerian Luar Palestin mengutuk tindakan Israel yang dianggap melanggar undang-undang antarabangsa dan hak penduduk di wilayah yang diduduki.- AFP