fb fb fb fb fb

21 atlet terbunuh dalam nahas bas di Nigeria

Foto Hiasan

ABUJA, 1 Jun- Sekurang-kurangnya 21 atlet terbunuh dalam nahas bas di lebuh raya Nigeria pada Sabtu ketika dalam perjalanan pulang daripada kejohanan sukan peringkat kebangsaan, menurut pihak berkuasa tempatan.

Kor Keselamatan Jalan Raya Persekutuan (FRSC) memaklumkan bahawa kemalangan berkenaan tidak membabitkan sebarang kenderaan lain.

Ia dipercayai berpunca daripada keletihan pemandu dan pemanduan melebihi had laju.

Ketika kejadian, kesemua atlet berkenaan dalam perjalanan pulang ke Kano, utara Nigeria, selepas menyertai Festival Sukan Kebangsaan ke-22 yang diadakan di selatan negeri Ogun.

Presiden Nigeria, Bola Tinubu sebelum ini menyifatkan temasya sukan tersebut, yang merangkumi acara seperti bola keranjang berkerusi roda dan gusti tradisional Afrika Barat, sebagai lambang perpaduan, kekuatan dan ketahanan rakyat negara itu.

Sepanjang tahun lalu, Nigeria merekodkan 9,570 kemalangan jalan raya dengan 5,421 kematian, menurut data FRSC.– AFP

 

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM