fb fb fb fb fb

Kekurangan susu formula bayi, Amerika Syarikat terima bekalan pertama dari Eropah

INDIANAPOLIS, 23 Mei - Penghantaran pertama susu formula bayi Nestlé ke Amerika Syarikat tiba di Indiana semalam.

Ia susulan krisis bekalan yang telah menyebabkan panik dalam kalangan berjuta-juta ibu bapa dan penjaga di negara itu.

Menurut Setiausaha Pertanian, Tom Vilsack, pentadbiran Presiden Joe Biden telah mengeluarkan arahan bagi memastikan isu tersebut diatasi segera.

"Ini adalah langkah pertama. Usaha seterusnya akan dilaksanakan bagi memastikan bekalan tidak berkurangan lagi pada masa akan datang," katanya.

Sementara itu, jurucakap Nestle berkata lebih banyak penghantaran akan tiba dalam beberapa hari akan datang.

Ia misi pertama seumpamanya susulan krisis bekalan yang dihadapi AS sejak penarikan semula Abbott Laboratories terhadap produk keluarannya serta penutupan kilang pembuatannya di Sturgis, Michigan berikutan laporan jangkitan bakteria terhadap empat orang bayi sebelum ini.


(FOTO FAIL/REUTERS)

Ketua Eksekutif, Robert Ford pada masa sama berjanji untuk memperbaiki semula bekalan dengan memberi komitmen bahawa kilang akan dibuka semula pada Jun dan akan mengambil masa enam hingga lapan minggu untuk produk dapat dibekalkan semula.

Ford juga berkata, Bahagian Pentadbiran Makanan dan Dadah AS masih menyiasat insiden jangkitan bakteria yang dilaporkan. - Reuters

Media Baharu