WELLINGTON, 23 Mei - Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern bakal mengadakan lawatan ke Amerika Syarikat minggu ini.
Ia sebagai usaha meningkatkan eksport dan menarik lebih ramai pelancong ke negara pasifik itu yang akan membuka sepenuhnya sempadan setelah dua tahun sekatan akibat COVID-19.
Dalam satu kenyataan, Ardern dilaporkan bakal bertemu Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres di New York dan pegawai kanan Senat di Washington, DC namun tidak menyenaraikan pertemuan dengan Presiden AS, Joe Biden yang kini dalam rangka lawatan ke Jepun dan Korea Selatan.
(Capitol Hill, Washington DC/ REUTERS)
"Hubungan antara New Zealand dan Amerika Syarikat adalah penting. Lawatan kali ini melibatkan penglibatan politik dan keselamatan serta promosi pelancongan dan perdagangan," katanya.
Mengikut data, perdagangan dua hala antara negara bernilai kira-kira AS$12 bilion pada 2021, dengan pertumbuhan tahunan secara purata sebanyak lima peratus sepanjang 15 tahun.
Manakala pelancong AS adalah ketiga terbesar ke New Zealand dengan 10 peratus daripada jumlah ketibaan sebelum COVID-19.
Ardern pada awal bulan ini memberi komitmen untuk membuka semula sempadannya bermula akhir Julai ini. - Reuters