fb fb fb fb fb

Imran ajak rakyat turun ke jalan, tuntut laksana pilihan raya segera

KARACHI, 23 Mei - Mantan Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan mengajak orang ramai berarak ke ibu negara, Islamabad dan menuntut pembubaran parlimen serta menggesa pilihan raya dilaksanakan segera.

Dalam satu laporan media tempatan, Imran turut mengumumkan tarikh perarakan dan dijangka bakal menarik penyertaan puluhan ribu penyokong setia beliau.

“Saya akan bertemu anda di Islamabad di Lebuhraya Srinagar pada 25 hari bulan pada pukul 3 petang. Kita akan menuntut agar parlimen dibubarkan dan tarikh pilihan raya diumumkan agar rakyat dapat memilih semula demi sebuah negara yang bebas serta adil," katanya.

Perkembangan terbaharu itu dilihat pemerhati politik sebagai tindak balas pemimpin pembangkang itu yang digulingkan dalam satu undi tidak percaya bulan lalu setelah dituduh gagal mengendalikan krisis ekonomi negara Asia Tengah itu.


(FOTO REUTERS)

Imran dalam siri ceramah dan perhimpunan di seluruh negara turut menyalahkan Amerika Syarikat dengan menganggap negara Uncle Sam itu berkomplot menjatuhkannya.

Sementara itu, Perdana Menteri Shehbaz Sharif juga, seakan bertungkus lumus bagi mengeluarkan negara tersebut daripada kemelut peningkatan kadar inflasi.

Pihaknya dilaporkan sedang berbincang dengan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) untuk mengeluarkan lebih banyak daripada pakej menyelamat sebanyak US$6 bilion yang pernah dipersetujui pada 2019 lalu.

Untuk rekod, Pakistan kini menanggung defisit akaun semasa yang kian kritikal ditambah kejatuhan nilai rizab asing bawah US$10.5 bilion dolar, bersamaan dengan import kurang daripada dua bulan.- Reuters

Media Baharu