fb fb fb fb fb

Kekejaman El-Fasher: UK salur AS$6.57 juta dana kecemasan kepada Sudan

Foto AFP

BAHRAIN, 2 November- Peruntukan dana kecemasan berjumlah £5 juta (AS$6.57 juta) telah disalurkan kerajaan United Kingdom (UK) susulan kekejaman yang dilakukan RSF ketika menawan bandar El-Fasher.

RSF telah menawan El-Fasher pada Ahad lalu, sekali gus menumbangkan kubu terakhir tentera di wilayah Darfur Barat selepas 18 bulan pengepungan yang diselubungi dengan serangan bom dan kebuluran.

“Mangsa konflik yang dahsyat ini telah terlalu lama diabaikan, sementara penderitaan terus meningkat,” kata Menteri Luar Negeri United Kingdom, Yvette Cooper, ketika berucap dalam sebuah persidangan di Bahrain.

Dana kecemasan tersebut, telah melengkapkan dana £120 juta yang telah dijanjikan UK kepada Sudan sepanjang tahun lalu.

Jumlah itu turut merangkumi £2 juta khusus untuk membantu mangsa keganasan seksual di El-Fasher.

“Laporan dari Darfur sejak beberapa hari lalu benar-benar mengerikan,” tegas Cooper.

“Berita mengenai kekejaman, hukuman mati beramai-ramai, kebuluran, dan rogol sebagai senjata perang amat membinasakan, terutama wanita dan kanak-kanak, " katanya.

Dalam satu kenyataan rasmi, Pejabat Luar Negeri United Kingdom turut mendesak semua pihak supaya menghentikan permusuhan bagi melindungi orang awam serta membolehkan bantuan kemanusiaan disalurkan tanpa halangan. -AFP

SITI NOORAIN ABDULLAH