BAITULMAQDIS, 1 November – Rejim Zionis Israel melancarkan beberapa serangan udara di selatan Gaza sekali gus mencabuli gencatan senjata yang dicapai pada 10 Oktober lalu.
Menurut sumber keselamatan Hamas kepada AFP, serangan berkenaan disasarkan ke kawasan Khan Yunis, malah kapal perang Israel turut melepaskan tembakan ke arah pantai.
Serangan itu memaksa penduduk awam berlari menyelamatkan diri.
Dalam masa sama, Briged Ezzedine Al-Qassam, telah menyerahkan mayat yang tidak dapat dikenal pasti selepas Israel menolak tawaran untuk membuat ujian DNA bagi pengesahan identiti.
“Kami menyerahkannya bagi mengelak sebarang dakwaan palsu daripada musuh,” kata jurucakap Briged Al-Qassam dalam kenyataan di Gaza.
Sejak gencatan senjata dikuatkuasakan, Hamas telah memulangkan 20 tebusan hidup serta menyerahkan 17 mayat, termasuk 15 rakyat Israel, seorang warga Thailand dan seorang Nepal.
Sementara itu, penduduk Gaza terus menderita di bawah sekatan berterusan rejim Zionis.
Penduduk tempatan, Hisham al-Bardai, 37, dari Kem Jabalia berkata beliau mendengar tembakan dari arah tentera pendudukan sepanjang malam.
“Gencatan senjata hanya sekadar di atas kertas. Perang belum berakhir dan sekatan makanan masih diteruskan,” katanya ketika ditemui AFP.
Sebahagian besar penduduk Gaza kini kembali ke kawasan kediaman mereka yang musnah, hidup di bawah khemah dan runtuhan bangunan yang dibedil berulang kali.
Sumaya Daloul, 27, yang kini tinggal di khemah bersama keluarga di Gaza City, berkata kehidupan rakyat semakin terdesak.
“Kami tidak lagi mempunyai harapan. Gaza musnah dan penderitaan ini akan berlarutan selama bertahun-tahun,” katanya sebak. - AFP