fb fb fb fb fb

Serangan Israel di selatan Lubnan, cetus kebimbangan terhadap gecatan senjata dengan Hezbollah

Serangan terbaharu Israel di selatan Lubnan mengorbankan empat orang, tiga yang lain cedera /AFP

BEIRUT, 2 November- Satu serangan udara yang dilancarkan Israel di selatan Lubnan pada Sabtu telah meragut empat nyawa dan mencederakan tiga yang lain.

Menurut Kementerian Kesihatan Lubnan, situasi itu sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap kelangsungan gencatan senjata dengan kumpulan Hezbollah.

Biarpun gencatan senjata telah dimeterai pada November 2024, Israel masih menghantar tenteranya di lima kawasan di selatan Lubnan dan berterusan melancarkan serangan udara dengan alasan menyasarkan kumpulan pejuang itu.

Agensi Berita Kebangsaan Lubnan pula melaporkan bahawa tentera Israel menembak sebuah kenderaan menggunakan peluru berpandu sekitar pukul 10.30 malam waktu tempatan.

Terdahulu, Presiden Lubnan, Joseph Aoun telah menyeru agar rundingan dengan Israel diadakan pada pertengahan Oktober, selepas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, berjaya menjadi orang tengah dalam mencapai gencatan senjata di Gaza.

Namun Aoun menuduh Israel bertindak balas terhadap seruannya untuk berunding dengan mempertingkat serangan ke atas wilayah Lubnan.

Hezbollah mula melancarkan serangan rentas sempadan terhadap Israel sejurus tercetusnya perang di Gaza pada Oktober 2023.

Pertempuran tersebut berlanjutan lebih setahun dan memuncak dengan peperangan terbuka selama dua bulan sebelum gencatan senjata tahun lalu dicapai.

Amerika Syarikat dilaporkan meningkatkan tekanan terhadap pihak berkuasa Lubnan agar melucutkan senjata kumpulan tersebut — satu cadangan yang ditentang keras oleh Hezbollah dan sekutunya. -AFP

SITI NOORAIN ABDULLAH