fb fb fb fb fb

Keganasan terbaharu di DRC memaksa 85,000 penduduk lari ke Burundi

Foto AFP

Nairobi, 17 Disember - Sekurang-kurangnya 85,000 pelarian telah menyeberang masuk ke Burundi susulan kemaraan terbaharu kumpulan pemberontak M23 di timur Republik Demokratik Congo (DRC), menurut pegawai Burundi pada Selasa, sambil memberi amaran mengenai kesesakan teruk dan keadaan yang disifatkan sebagai 'bencana'.

Kumpulan M23 yang disokong Rwanda pada Selasa mendakwa mereka akan berundur dari bandar strategik Uvira, berhampiran sempadan Burundi, yang ditawannya minggu lalu selepas melancarkan serangan baharu di timur DRC yang kaya sumber mineral.

Serangan itu berlaku hanya beberapa hari selepas satu perjanjian damai ditandatangani di Washington, namun keganasan terbaharu menimbulkan keraguan terhadap keberkesanan perjanjian tersebut serta mencetuskan kebimbangan mengenai kemungkinan berlakunya perang serantau yang lebih meluas.

"Kira-kira 25,000 pelarian kini didaftarkan di Gatumba, manakala hampir 40,000 berada di Buganda berikutan peningkatan keganasan," kata Presiden Suruhanjaya Komuniti Ekonomi Negara-Negara Afrika Tengah (ECCAS) dari Burundi,Ezechiel Nibigira, yang memetik data pihak berkuasa tempatan dan menurutnya angka tersebut "terus meningkat setiap hari".

Gatumba dan Buganda terletak di barat laut Burundi, berhampiran sempadan DRC.

"Kebanyakan pelarian terdiri daripada wanita dan kanak-kanak yang hidup dalam keadaan sangat terdedah serta sepenuhnya kehilangan keperluan asas untuk kelangsungan hidup," tambahnya dalam satu sidang media.

Malah, mereka berdepan kekurangan akut bekalan makanan, tempat perlindungan, kemudahan sanitasi, air minuman bersih dan perkhidmatan kesihatan asas, selain kesesakan yang meningkatkan risiko penularan penyakit.

Sementara itu seorang pegawai di selatan Rumonge, Augustin Minani berkata, terdapat antara 20,000 hingga 25,000 pelarian telah tiba dari DRC sejak 10 Disember lalu, termasuk kira-kira 3,000 orang pada Selasa.

Beliau menyifatkan keadaan itu amat berisiko membebankan keupayaan pihak berkuasa tempatan yang berdepan kekangan dalam membantu pelarian yang berdepan kebuluran kerana tiada makanan, tiada ubat-ubatan dan tiada tempat perlindungan," katanya kepada AFP.

Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan lebih 200,000 orang telah dipindahkan akibat serangan ke atas Uvira, namun jumlah sebenar yang telah memasuki Burundi masih belum dapat dipastikan.

Keganasan terbaharu ini merupakan susulan tindakan kumpulan M23 awall tahun ini yang menawan dua lagi bandar utama di timur DRC, iaitu Goma dan Bukavu, yang turut menyebabkan pemindahan besar-besaran penduduk.- AFP

EZA YUSMAWATI YAACOP