fb fb fb fb fb

Israel halang kemasukan ahli Parlimen Kanada di sempadan Tebing Barat

Foto AFP

MONTREAL, 17 Disember - Enam ahli Parlimen Kanada yang dalam perjalanan dari Jordan dinafikan kemasukan mereka ke Tebing Barat yang diduduki pada Selasa oleh pihak berkuasa negara haram Israel, yang mendakwa delegasi tersebut ditaja oleh 'entiti pengganas'.

Ahli Parlimen pembangkang daripada Parti Demokratik Baharu (NDP), Jenny Kwan, memaklumkan kepada AFP bahawa salah seorang ahli Parlimen, Iqra Khalid daripada Parti Liberal pimpinan Perdana Menteri Mark Carney, telah diperlakukan secara biadap apabila 'ditolak beberapa kali' oleh pegawai keselamatan Israel di pintu sempadan.

Delegasi berkenaan dalam lawatan yang ditaja oleh sebuah badan kebajikan, Canadian-Muslim Vote.

Bagaimanapun, Kedutaan Israel di Kanada dalam satu kenyataan kepada AFP seperti biasa memutarbelitkan keadaan dengan mendakwa kononnya pertubuhan itu menerima dana daripada Islamic Relief Canada, cabang kepada Islamic Relief Worldwide (IRW) yang disenaraikan Israel sebagai entiti pengganas.

IRW sebelum ini menolak dakwaan berpanjangan Israel yang mengaitkan pertubuhan itu dengan Hamas.

Kwan turut mendedahkan, pihak berkuasa Israel telah dimaklumkan lebih awal dan kebenaran perjalanan pada awalnya diluluskan, namun keseluruhan delegasi dinafikan kemasukan sebaik sahaja tiba di lintasan Allenby Bridge.

"Sebelum berlepas dari Kanada, saya memang ada menjangkakan kemungkinan berdepan kesukaran susulan keputusan Perdana Menteri Mark Carney mengiktiraf kenegaraan Palestin pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) pada September lalu.

"Namun, kebimbangan tersebut tidak berbangkit selepas lawatan berkenaan diluluskan," jelasnya dalam satu kenyataan.

Delegasi tersebut kini telah kembali ke Amman, ibu negara Jordan.

Sementara itu, Menteri Luar Kanada, Anita Anand, menerusi media sosial memaklumkan bahawa Ottawa telah menyuarakan bantahan terhadap layanan yang diterima oleh warga Kanada berkenaan.– AFP

EZA YUSMAWATI YAACOP