Gaza City, 17 Disember - Hujan lebat berterusan pada musim sejuk memaksa penduduk di Semenanjung Gaza menolak kenderaan yang terperangkap dalam air banjir di jalan-jalan raya, manakala sebahagian yang lain menggunakan pedati yang ditarik keldai untuk meredah kawasan yang dinaiki air.
Banjir turut menenggelami khemah dan tempat perlindungan sementara di wilayah Palestin yang musnah akibat peperangan, dengan kebanyakan bangunan rosak atau hancur susulan serangan berterusan Israel sejak Oktober 2023.
Kementerian Kesihatan di Gaza yang ditadbir Hamas memaklumkan seorang bayi lelaki berusia dua minggu, Muhammad Khalil Abu Al-Khair, meninggal dunia akibat hipotermia berpunca daripada cuaca sejuk melampau.
Menurut kenyataan kementerian itu, bayi berkenaan dimasukkan ke hospital sejak dua hari lalu dan ditempatkan di unit rawatan rapi sebelum meninggal dunia pada Isnin.
Walaupun gencatan senjata yang berkuat kuasa pada Oktober telah melonggarkan sebahagian sekatan ke atas kemasukan barangan dan bantuan, Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) memaklumkan, jumlah bantuan yang memasuki Gaza masih tidak mencukupi.
Menyaksikan kira-kira 1.3 juta penduduk kini memerlukan bantuan tempat perlindungan dan badan dunia itu memberi amaran mengenai peningkatan risiko hipotermia, khususnya terhadap bayi yang disifatkan berada dalam keadaan 'berisiko tinggi'.
Menurut Ketua Agensi Bantuan PBB untuk Pelarian Palestin (UNRWA), Philippe Lazzarini, hujan lebat dan cuaca sejuk yang dibawa Ribut Byron menyebabkan penduduk Gaza 'mati kesejukan', sambil menambah bekalan bantuan PBB telah berbulan-bulan menunggu untuk memasuki wilayah tersebut.
Sementara itu, agensi pertahanan awam Gaza mendedahkan, sekurang-kurangnya 16 orang maut dalam tempoh 24 jam lalu akibat runtuhan bangunan dan kesan cuaca sejuk, manakala seorang lagi terbunuh pada Selasa selepas bumbung sebuah bangunan runtuh di barat laut Bandar Gaza. - AFP