fb fb fb fb fb

Kebakaran loji nuklear Ukraine, tiada ancaman keselamatan- IAEA

Loji Kuasa Nuklear Zaporizhzhia di Enerhodar, Ukraine/ AFP

VIENNA, 12 Ogos- Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) mengesahkan tiada sebarang ancaman terhadap keselamatan nuklear, susulan kebakaran di Loji Kuasa Nuklear Zaporizhzhia (ZNPP), selatan Ukraine.

"Pakar IAEA menyaksikan asap tebal datang dari kawasan utara ZNPP berikutan beberapa letupan yang kedengaran pada waktu petang," kata agensi itu menerusi platform X, merujuk kepada Loji Kuasa Nuklear Zaporizhzhia.

"Pasukan diberitahu oleh ZNPP mengenai dakwaan serangan dron hari ini di salah satu menara penyejuk yang terletak di tapak itu," tambah kenyataan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa.

"Ukraine, Rusia dan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) berkata tiada peningkatan tahap radiasi atau sebarang kesan terhadap keselamatan nuklear dikesan.

"Kedua-dua Rusia dan Ukraine melaporkan kebakaran di sana awal Ahad.

Rusia dan Ukraine saling menuding jari menyalahkan antara satu sama lain berhubung insiden berkenaan.

Rusia merampas kawalan loji itu hanya beberapa hari selepas ia melancarkan serangan ketenteraan berskala penuh pada Februari 2022.-AFP

ROSLINA BINTI DIN