fb fb fb fb fb

Kebakaran berhampiran Athens merebak 'sepantas kilat'

Keadaan kebakaran di Varnavas, Greece, langit diselubungi asap tebal/ REUTERS

ATHENS, 12 Ogos- Penduduk melarikan diri dari rumah mereka ketika kebakaran hutan di luar Athens merebak dengan pantas.

Keadaan itu menyebabkan ibu kota Greece diselubungi asap tebal akibat kebakaran.

Lebih 400 anggota bomba disokong dengan 16 pesawat pengebom air dan 13 helikopter memadamkan kebakaran yang berlaku pada pukul 3.00 petang waktu tempatan.

Kebakaran itu cepat sampai ke kampung Varnavas 35 kilometer di utara Athens berikutan cuaca panas dan keadaan berangin.

Bagaimanapun pesawat pemadam kebakaran berhenti beroperasi pada waktu malam hingga pagi.

"Keadaan masih berbahaya kerana api merebak antara kediaman," kata jurucakap bomba Vassilis Vathrakogiannis.

Beliau berkata api setinggi 25 meter merebak dengan cepat, ditambah dengan keadaan berangin.

Menurut bancian terkini, Varnavas merupakan kawasan yang mempunyai kira-kira 1,800 penduduk.

"Kampung itu dikepung oleh api dalam masa yang singkat, ia sepantas kilat," kata penduduk Katerina Fylaktou kepada Reuters. "Ia bermula secara tiba-tiba dan kemudian seluruh kampung dikepung oleh api," katanya.

Beratus-ratus kebakaran hutan berlaku di seluruh Greece sejak Mei dan saintis mengaitkan kekerapan kejadian itu dengan perubahan iklim.

Greece merekodkan bulan Jun dan Julai merupakan bulan paling panas.

"Kami menjangkakan minggu yang sangat sukar," kata pengarah penyelidikan Balai Cerap Athens Kostas Lagouvardos. "Jika kebakaran Varnavas tidak dibendung pada waktu malam, masalah kami akan bertambah esok," katanya.

Kebakaran itu juga didorong cuaca panas melampau yang turut melanda Eropah, termasuk di Sepanyol dan Balkan.

Bagaimanapun pihak berkuasa menghantar amaran pemindahan untuk sembilan kawasan berhampiran Varnavas. Menjelang petang, asap tebal menyelubungi sebahagian besar Athens dan telah sampai ke pulau Aegina di selatannya.

Satu lagi kebakaran di kawasan hutan berhampiran bandar Megara, barat Athens, berjaya dikawal pada petang Ahad, kata pasukan bomba.

Beberapa wilayah lain di seluruh Greece berada dalam keadaan berjaga-jaga terhadap risiko kebakaran.

Menteri Krisis Iklim dan Perlindungan Awam Vassilis Kikilias berkata, beliau mengambil langkah kecemasan melibatkan tentera, polis dan sukarelawan untuk menangani kebakaran hutan sehingga 15 Ogos.

"Suhu yang sangat tinggi dan keadaan cuaca berbahaya akan berlaku," katanya.

Menurut laporan Suruhanjaya Eropah berkata musim kebakaran hutan 2023 di Eropah adalah antara yang paling teruk abad ini.- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI