GAZA, 12 Ogos- Berpuluh-puluh ribu penduduk Palestin terpaksa dipindahkan dari Khan Younis berikutan serangan Israel ke kawasan itu menggunakan roket.
Sementara itu pada Sabtu, serangan udara Israel ke atas sebuah sekolah di bandar Gaza yang dijadikan tempat perlindungan telah membunuh sekurang-kurangnya 90 individu.
Menurut perkhidmatan pertahanan awam, tindakan kejam rejim zionis itu mendapat bantahan antarabangsa.
Arahan pemindahan di Khan Younis di selatan Gaza, meliputi daerah-daerah di tengah, timur dan barat, menjadikannya salah satu perintah terbesar dalam konflik 10 bulan, dua hari selepas kereta kebal kembali ke timur bandar itu.
Pengumuman berkenaan disiarkan di X, mesej teks dan audio ke telefon penduduk dengan berkata, "untuk keselamatan anda sendiri, anda mesti berpindah segera ke zon kemanusiaan yang baru diwujudkan.
"Kawasan anda, berada dalam zon tempur berbahaya."
Bagaimanapun Ketua Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) Philippe Lazzarini berkata, penduduk Gaza terperangkap dan tidak mempunyai tempat selamat untuk dituju.
"Ada yang hanya mampu membawa anak, dan mereka akan ke tempat-tempat yang sesak di tempat perlindungan yang dipenuhi keluarga untuk berlindung.
"Mereka kehilangan segala-galanya dan memerlukan bantuan segera," katanya.
Tentera Israel berkata, ia telah menyerang sekitar 30 sasaran tentera Hamas dalam tempoh 24 jam sebelumnya, termasuk tentera, pos pelancaran peluru berpandu anti-kereta kebal, dan kemudahan penyimpanan senjata.
Pada Ahad, serangan udara Israel berhampiran pasar Khan Younis telah meragut empat rakyat Palestin dan mencederakan beberapa yang lain, kata pegawai perubatan.
Pesawat Israel terus melakukan serangan di bahagian timur dan barat bandar itu serta mengebom dua bangunan bertingkat, kata penduduk.
Kementerian Kesihatan Gaza memaklumkan hampir 40,000 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan Israel di Gaza sejak Oktober lalu dan jumlah korban terus meningkat setiap hari.- REUTERS