DHAKA, 15 Oktober -Sekurang-kurangnya 16 orang terkorban dalam kebakaran sebuah kilang pakaian dan gudang kimia di kawasan Mirpur, di sini, semalam, dengan ramai lagi dilaporkan masih hilang.
Api mula marak di kilang empat tingkat sekitar tengah hari sebelum merebak ke gudang bersebelahan yang menyimpan bahan kimia berbahaya termasuk serbuk peluntur, plastik dan hidrogen peroksida.
Kebakaran di kilang berjaya dikawal selepas hampir tiga jam, namun api di gudang masih marak sehingga pagi Rabu berikutan tindak balas kimia yang berterusan.
Anggota keluarga mangsa dilihat berkumpul berhampiran lokasi sejak pagi tadi, menunggu khabar berita ahli keluarga yang belum ditemui.
“Abang saya hilang sejak semalam. Tiada siapa berikan maklumat yang jelas.
Kami seolah-olah dipermainkan, ada yang suruh pergi ke hospital, ada yang suruh ke balai polis, tetapi sehingga kini tiada jawapan,” kata Mohammad Sohel, ahli keluarga salah seorang mangsa.
Pihak berkuasa menasihatkan orang ramai supaya berada lebih jauh sekurang-kurangnya 300 meter dari kawasan terbabit kerana risiko bahan kimia yang masih aktif.
Sementara itu, Perdana Menteri interim Bangladesh, Muhammad Yunus, menzahirkan ucapan takziah serta menggesa siasatan segera dijalankan dan bantuan disalur kepada mangsa serta keluarga.
Bangladesh sering berdepan insiden kebakaran akibat standard keselamatan kilang yang lemah.
Industri pakaian negara itu menggaji hampir 4 juta pekerja dan menyumbang lebih 10 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). -REUTERS