SEOUL, 15 Oktober -Korea Selatan akan menghantar satu pasukan khas ke Kemboja bagi membantu rakyatnya yang terperangkap bekerja di pusat penipuan dalam talian di negara itu.
Penasihat Keselamatan Negara Korea Selatan, Wi Sung-lac berkata, pasukan bersepadu itu diketuai Timbalan Menteri Luar Kedua, Kim Jina bersama pegawai polis serta pegawai Kementerian Kehakiman.
"Pasukan ini dijadual berlepas malam ini dan akan bertemu dengan pegawai kanan kerajaan Kemboja untuk mencari jalan penyelesaian," katanya pada sidang media di Seoul.
Menurut beliau, kira-kira 200,000 individu pelbagai negara dilaporkan bekerja dengan sindiket penipuan di Kemboja, termasuk lebih 1,000 warga Korea Selatan.
"Jumlah sebenar sukar ditentukan, tetapi agensi kami menganggarkan lebih 1,000 rakyat Korea Selatan berada dalam kalangan mereka," jelasnya.
Kerajaan Korea Selatan kini turut memberi tumpuan membawa pulang kira-kira 60 rakyatnya yang ditahan pihak berkuasa Kemboja dalam dua operasi besar pada Julai dan September lalu.
Tindakan segera berkenaan diambil susulan kematian seorang pelajar kolej Korea Selatan yang dipercayai diseksa hingga mati di Kemboja Ogos lalu, disyaki mempunyai kaitan dengan sindiket pekerjaan palsu. -REUTERS
