RAFAH, 15 Oktober -Trak membawa bantuan kemanusiaan mula bergerak dari sempadan Rafah, Mesir ke Gaza awal pagi ini, dengan ratusan lagi kenderaan dilaporkan sedang beratur untuk masuk.
Antara yang dibawa termasuk makanan, ubat-ubatan serta peralatan bagi membaik pulih infrastruktur yang rosak akibat serangan berterusan.
Bantuan kali ini melibatkan kerjasama beberapa pihak termasuk Emiriah Arab Bersatu, Kuwait Red Crescent Society dan Sharjah Charity International.
Menurut laporan penyiar Kan, kira-kira 600 trak akan dibenarkan masuk selepas Hamas menyerahkan lebih banyak mayat tebusan kepada Israel menerusi Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa.
Laporan itu juga menyebut, dengan kelulusan keselamatan Israel, penduduk Gaza yang sebelum ini meninggalkan wilayah berkenaan akan dibenarkan pulang.
Manakala sebahagian lain dibenar keluar melalui lintasan Rafah.
Israel sebelum ini mengancam untuk terus menutup lintasan Rafah kerana mendakwa Hamas gagal memenuhi syarat perjanjian gencatan senjata, termasuk menyerahkan mayat tebusan.
Beberapa jam kemudian, Hamas menyerahkan empat keranda kepada Israel, dengan tiga daripadanya dikenal pasti sebagai tebusan warga Israel. -REUTERS