fb fb fb fb fb

Kebakaran hutan: Dua maut, 30 kawasan sekitar Sao Paulo Brazil terjejas

Anggota bomba dari Briged Alto Pantanal menaiki traktor ketika mereka berusaha memadamkan kebakaran yang semakin meningkat di Pantanal, Corumba, negeri Mato Grosso do Sul, Brazil, 14 Jun 2024/ REUTERS

SAO PAULO, 24 Ogos- Kebakaran hutan di Sao Paulo, Brazil menyebabkan 30 kawasan sekitar bandar itu ditutup dengan dua individu dilaporkan maut ketika cuba memadamkan api di sebuah kilang perindustrian, petang semalam.

Kerajaan dalam satu kenyataan berkata bandar itu terjejas akibat cuaca kering dan panas sejak kebelakangan ini.

Kerajaan negeri juga memberi amaran bahawa kebakaran hutan boleh merebak dengan cepat susulan tiupan angin berpotensi memusnahkan kawasan yang sebahagian besarnya meliputi tumbuh-tumbuhan semula jadi.

Buat masa ini, kerajaan belum memaklumkan keadaan di bandar Sao Paulo, yang mempunyai populasi tertinggi dengan lebih 11 juta penduduk.

Namun, media tempatan melaporkan asap dilihat di beberapa bahagian langit sekitar ibu negeri.

Kerajaan berkata dua pekerja di sebuah kilang perindustrian di bandar Urupes meninggal dunia semalam ketika cuba memadamkan kebakaran tanpa memberikan perincian lanjut.

Terdahulu, syarikat pemproses tebu terbesar di dunia, Raizen berkata operasi perindustrian di sebuah kilang di Sertaozinho dihentikan sejak Khamis kerana kebakaran di ladang tebu di sekitar loji itu.

Kerajaan negeri Sao Paulo telah mewujudkan jawatankuasa kecemasan bagi mengendalikan kebakaran, selain turut menyekat laluan kira-kira 15 lebuh raya membabitkan penutupan penuh dan separa.

Musim kebakaran hutan di Brazil biasanya memuncak pada Ogos dan September.

Tahun ini, kebakaran hutan di Pantanal, iaitu kawasan tanah lembap terbesar di dunia bermula lebih awal iaitu sejak penghujung Mei lalu.

Sementara itu, data kerajaan pada awal bulan ini menunjukkan jumlah kebakaran di hutan hujan Amazon Julai lalu, melonjak ke paras tertinggi dalam tempoh dua dekad.- REUTERS

ZEHRA BINTI ZAMBRI