CARACAS, 24 Ogos-Amerika Syarikat bersama-sama Eropah dan Amerika Latin menolak pengesahan kemenangan Presiden Nicolas Maduro oleh Mahkamah Agung Venezuela.
Washington, yang mengenakan sekatan terhadap rejim Maduro, melalui jurucakap Jabatan Negara, Vedant Patel, menyatakan keputusan itu "tidak mempunyai sebarang kredibiliti," manakala Sepanyol dan Mexico terus menuntut penjelasan terperinci mengenai keputusan pilihan raya.
Mahkamah Tinggi Venezuela pada Khamis lalu mengesahkan pemilihan semula itu untuk penggal ketiga selama enam tahun,satu keputusan yang disambut Maduro sebagai "bersejarah.
Majlis Pilihan Raya Nasional (CNE), yang juga dilihat sebagai sekutu Maduro, telah mengisytiharkan beliau sebagai pemenang pilihan raya pada 28 Julai, dengan 52 peratus undi. Namun, ia tidak pernah menyediakan perincian terperinci mengenai keputusan tersebut.
Pihak pembangkang berkata keputusan di peringkat pusat mengundi menunjukkan bahawa calon mereka, Edmundo Gonzalez Urrutia, seorang diplomat bersara berusia 74 tahun, telah mengalahkan Maduro dengan margin yang besar.
Pembangkang kemudiannya memuatnaik keputusan tersebut secara dalam talian dan menyebabkan Peguam Negara, Tarek William Saab, yang dilihat sebagai sekutu Maduro, melancarkan siasatan dengan mendakwa bahawa pembangkang telah "merampas" kuasa CNE untuk mengeluarkan keputusan pilihan raya.
Pada Jumaat, Saab dilaporkan berkata beliau akan memanggil Gonzalez Urrutia dalam tempoh terdekat untuk menjelaskan ketidakpatuhannya terhadap institusi negara.
Patel berkata, terdapat "bukti yang kukuh" bahawa Gonzalez Urrutia sudah memenangi pilihan raya, dan memberi amaran bahawa "cubaan berterusan mendakwa peroleh kemenangan yang dilakukan melalui penipuan oleh Maduro hanya akan memburukkan lagi krisis yang sedang berlaku.
"Protes yang berlaku beberapa jam selepas pengundian mengakibatkan 25 orang maut, hampir 200 cedera, dan lebih daripada 2,400 ditahan. Maka sudah tiba masanya, untuk dilakukan 'perbincangan' mengenai peralihan kuasa secara aman dan penuh hormat dilakukan."katanya.
Maduro sebelum ini menggesa penangkapan Gonzalez Urrutia, yang sehingga kini masih tidak dilihat berada dalam khalayak umum sejak mengetuai perarakan pembangkang pada 30 Julai lalu.
Amerika Syarikat (AS) turut menandatangani kenyataan bersama dengan 10 negara Amerika Latin mengecam "kekurangan kebebasan dan ketidakberpihakan" di pihak mahkamah tinggi dan CNE.
Hanya satu audit bebas dan tidak berpihak terhadap pilihan raya yang akan memastikan undian rakyat diiktiraf dan menjunjung demokrasi di Venezuela," kata dokumen itu, yang turut ditandatangani oleh Argentina, Costa Rica, Chile, Ecuador, Guatemala, Panama, Paraguay, Peru, Republik Dominika, dan Uruguay.
Venezuela menolak kenyataan itu sebagai campur tangan yang "tidak dapat diterima."
Sepanyol dan Mexico menegaskan bahawa melainkan Venezuela menerbitkan keputusan pengundian terperinci, tuntutan kemenangan Maduro tidak boleh diiktiraf.
Mexico, Brazil, dan Colombia telah mempromosikan rundingan untuk mencari jalan keluar daripada krisis Venezuela.
Sementara itu, diplomat tertinggi EU Josep Borrell menegaskan pada hari Jumaat bahawa "kami tidak melihat sebarang bukti" kemenangan Maduro.
"Sehingga kami melihat keputusan yang dapat disahkan, kami tidak akan mengiktirafnya," katanya.
CNE berkata mereka tidak dapat menyediakan perincian keputusan di peringkat pusat mengundi kerana sistem mereka telah menjadi sasaran "serangan siber pengganas" — satu dakwaan yang disokong oleh Mahkamah Agung.
Misi pemerhati dari Carter Center yang berpangkalan di AS berkata tidak ada bukti mengenai serangan siber.
Pihak pembangkang, di pihaknya, mengatakan bahawa mereka mempunyai akses kepada keputusan dari 80 peratus kertas undi yang dikeluarkan dan menunjukkan bahawa Gonzalez Urrutia menang dengan mudah.
Gonzalez Urrutia di platform X menggesa masyarakat antarabangsa untuk kekal "teguh dalam mempertahankan demokrasi kami dan terus menuntut ketelusan dari badan-badan negara."
Kerajaan Cuba dan Nicaragua, yang juga di bawah sekatan AS, telah mengucapkan tahniah kepada Maduro.
Naib Presiden AS Kamala Harris, dalam surat kepada Gonzalez Urrutia dan pemimpin pembangkang Maria Corina Machado, memuji keberanian rakyat Venezuela untuk "memperjuangkan hak mereka dan menuntut masa depan yang demokratik."
Surat bertarikh 16 Ogos tetapi hanya dikongsi secara umum oleh penasihat keselamatan negara Harris pada Jumaat.
Dalam surat berkenaan, Harris berkata Amerika Syarikat akan "terus menggalakkan pihak-pihak di Venezuela untuk memulakan perbincangan mengenai peralihan kuasa secara hormat dan damai."-AFP