fb fb fb fb fb

Keadaan hidup di Gaza musnah akibat serangan, sekatan berulang: Laporan

Foto AFP

KUALA LUMPUR, 19 Disember- Serangan berulang, pengepungan yang menyesakkan dan sekatan tanpa henti sejak 14 bulan lepas memusnahkan keadaan hidup di Gaza, menurut laporan baharu, Doctors Without Borders.

Dalam laporan, "Gaza: Life in a Death Trap", pertubuhan kemanusiaan perubatan antarabangsa itu menyeru semua pihak bagi gencatan senjata segera untuk menyelamatkan nyawa dan membolehkan aliran bantuan kemanusiaan.

Israel mesti menghentikan serangan yang menyasarkan dan membunuh orang awam secara sembarangan, manakala sekutunya mesti bertindak tanpa berlengah untuk melindungi nyawa rakyat Palestin dan menegakkan peraturan perang, menurut laporan itu.

Setiausaha Agung Doctors Without Borders, Christopher Lockyear berkata penduduk di Gaza sedang bergelut untuk bertahan dalam keadaan apokaliptik, tetapi tiada tempat yang selamat, tiada siapa yang terkecuali dan tiada jalan keluar dari enklaf yang hancur ini.

Lockyear yang melawat Gaza awal tahun ini, berkata serangan tentera baru-baru ini di utara adalah gambaran nyata tentang perang kejam yang dilancarkan tentera Israel ke atas Gaza.

“Kami melihat tanda-tanda jelas pembersihan etnik apabila rakyat Palestin dipindahkan secara paksa, terperangkap dan dibom.

"Apa yang telah disaksikan oleh pasukan perubatan kami di lapangan sepanjang konflik ini adalah konsisten dengan penerangan yang diberikan oleh semakin ramai pakar undang-undang dan organisasi yang membuat kesimpulan bahawa genosid sedang berlaku di Gaza.

“Walaupun kami tidak mempunyai kuasa undang-undang untuk menentukan niat itu, tanda-tanda pembersihan etnik dan kemusnahan yang berterusan, termasuk pembunuhan besar-besaran, kecederaan kesihatan fizikal dan mental yang serius, pemindahan paksa serta keadaan hidup yang mustahil bagi rakyat Palestin di bawah sekatan dan pengeboman, adalah tidak dapat dinafikan,” tambahnya.

Sehingga kini, lebih 45,000 rakyat Palestin terbunuh dalam perang di Gaza, termasuk lapan anggota Doctors Without Borders, menurut Kementerian Kesihatan.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu awal tahun ini menganggarkan lebih 10,000 mayat masih tertimbus di bawah runtuhan.

Sementara itu, Doctors Without Borders berkata meskipun serangan tentera Israel ke atas Gaza berakhir hari ini, kesan jangka panjangnya akan kekal tidak pernah berlaku sebelum ini disebabkan oleh skala kemusnahan dan cabaran luar biasa dalam menyampaikan penjagaan kesihatan di seluruh semenanjung itu.

“Sebilangan besar individu yang cedera akibat peperangan menghadapi risiko jangkitan, amputasi dan hilang upaya kekal, dengan ramai yang memerlukan penjagaan pemulihan selama bertahun-tahun.

“Kesan fizikal terkumpul dan trauma mental didorong oleh keganasan melampau, kehilangan ahli keluarga dan kediaman, pemindahan paksa yang berulang kali dan keadaan hidup yang tidak berperikemanusiaan akan meninggalkan parut yang berlarutan selama beberapa generasi, tambah laporan itu.- BERNAMA

ROSLINA BINTI DIN