NEW YORK, 19 Disember- Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) mengecam serangan udara rejim Israel ke atas sebuah sekolah di Khan Yunis, selatan Gaza, Ahad lalu yang mengakibatkan kematian puluhan orang awam.
Jurucakap PBB, Stéphane Dujarric mengecam tindakan menyasarkan kemudahan yang menempatkan penduduk yang kehilangan tempat tinggal, termasuk kanak-kanak, wanita dan warga emas.
Lebih buruk, Israel menolak semua permintaan PBB untuk meluluskan tiga operasi kemanusiaan bagi menghantar bekalan makanan dan air ke utara Gaza.
Sejak Oktober tahun lalu, serangan Israel terhadap Gaza telah meragut lebih 151,000 nyawa, manakala lebih 11,000 orang masih hilang.
Sementara itu, konflik di wilayah Palestin memberi kesan kepada ekonomi tempatan. Semua sektor terjejas teruk akibat serangan Israel.
Bank Dunia melaporkan, pengeluaran ekonomi di Gaza merosot sebanyak 86 peratus pada separuh pertama tahun ini.
Ekonomi Palestin pula dijangka menguncup sebanyak 26 peratus selepas diselaraskan dengan kadar inflasi.
Inflasi di Gaza meningkat sebanyak 300 peratus dalam tempoh 12 bulan sehingga Oktober dengan harga makanan melonjak 440 peratus.
Kira-kira 91 peratus penduduk Gaza berada di ambang kekurangan makanan.-AFP