GAZA, 15 Oktober - "Keadaan di sini benar-benar gelap. Apa yang boleh saya lakukan pada ketika ini adalah menghantar pesanan suara kerana keadaan di Gaza tidak tertanggung".
Itu luahan penduduk Gaza, Enas Qeshta melalui pesanan suara yang dihantarnya kepada Al Jazeera.
Dalam rakaman audio itu, Enas berkata bahawa dia takut untuk mati dan tidak mahu mati.
"Saya takut mati. Saya tak mahu mati. Saya mahu mencapai impian saya. Apa yang kami dengar ketika ini adalah bunyi pengeboman sana sini.
"Israel bertindak gila dan menyasarkan orang awam (penduduk Palestin) yang tidak bersalah dan tiada tempat selamat di sini.
"Saya tidak tahu apa lagi pemimpin seluruh dunia tunggu," katanya.
Serangan udara Israel melanda Gaza kini genap seminggu dengan rakyat Palestin dikepung.
Rejim zionis pada Khamis telah menggugurkan 6,000 bom seberat 4,000 tan di Gaza dalam tempoh enam hari yang telah mengorbankan lebih 1,400 orang.
Israel melakukan pengepungan sepenuhnya ke atas Gaza dan memotong akses kepada makanan, air, ubat-ubatan dan bahan api. - Al Jazeera