GAZA, 15 Oktober - "Saya masih lagi bernyawa pada ketika ini tetapi saya tidak tahu adakah saya masih lagi hidup dalam beberapa saat dari sekarang."
Itu luahan penduduk Gaza, Afnan Elmasri yang berdepan detik cemas melalui pesanan suara yang dihantarnya kepada Al Jazeera.
"Kami mati dalam keadaan sepi (tiada pertolongan) dan tiada siapa yang mendengar suara kami.
"Di Gaza, tiada apa yang lebih kuat daripada bunyi roket dan peluru berpandu Israel.
"Tiada apa-apa (bunyi) yang lebih kuat selain daripada bunyi 'kematian'.
"Soalan saya ialah adakah pembunuhan beramai-ramai di Gaza masih lagi tidak cukup untuk menggegarkan dunia?
"Saya mohon orang ramai yang mendengar suara saya ini agar bertindak segera untuk menyelamatkan Gaza," kongsinya.
Serangan udara Israel tanpa henti melanda Gaza kini genap seminggu dengan jutaan rakyat Palestin dikepung oleh Israel.
Rejim zionis pada Khamis telah menggugurkan 6,000 bom seberat 4,000 tan di Gaza dalam tempoh enam hari yang telah mengorbankan lebih 1,400 nyawa.
Israel melakukan pengepungan sepenuhnya ke atas Gaza dan memotong akses kepada makanan, air, ubat-ubatan dan bahan api. - Al Jazeera