fb fb fb fb fb

Kazakhstan bubar parlimen, umum adakan pilihan raya 19 Mac ini

(Pilihan raya Kazakstan pada November 2022/AFP)

ASTANA, 19 Januari- Presiden Kazakhstan Kassym-Jomart Tokayev membubarkan Parlimen negara berkenaan pada Khamis dan menetapkan pilihan raya awal pada 19 Mac ini.

Pengumuman itu dibuat setahun selepas Kazakhstan dilanda huru-hara dengan rusuhan maut yang mengorbankan 238 orang pada Januari tahun lalu.

"Pada Januari 2023, ketua negara melalui dekri membubarkan Majilis Parlimen Kazakhstan," menurut Presiden dalam satu kenyataan.

Kenyataan itu juga memaklumkan, Presiden turut membubarkan badan perundangan tempatan.

Langkah itu selaras dengan pembaharuan Perlembagaan 2022 selepas tiga dekad pemimpin terdahulu, Nursultan Nazarbayev berkuasa.

Dalam mesej kepada rakyat Kazakhstan Tokayev berkata beliau berharap pilihan raya mengejut akan memberi dorongan baharu kepada pemodenan negara bekas Soviet yang kaya dengan sumber semula jadi itu.


(Presiden Kazakhstan Kassym-Jomart Tokayev ketika pengundian pada November tahun lalu/AFP)

Tokayev dipilih semula pada November lalu, memenangi 80 peratus undi selepas pilihan raya dikritik kerana kekurangan persaingan.

Semasa kempennya, beliau berjanji untuk mewujudkan "Kazakhstan Baharu" yang menurutnya akan lebih adil.

Tokayev juga telah berjanji untuk memperbaharui semua institusi kuasa utama. -AFP


Media Baharu