fb fb fb fb fb

Kardinal Angelo Becciu tidak akan sertai konklaf pilih paus baharu

Para kardinal dari seluruh dunia kini sedang berkumpul di Vatican, mengadakan perbincangan mengenai masa depan Gereja Katolik sejagat sebelum proses pemilihan rasmi dimulakan / REUTERS

VATICAN CITY, 29 April- Kardinal dari Itali, Angelo Becciu, yang sebelum ini disabitkan kesalahan pecah amanah dan penipuan, memaklumkan beliau tidak akan menyertai konklaf rahsia bagi memilih Paus baharu yang dijadualkan bermula 7 Mei ini.

Becciu, yang merupakan pegawai tertinggi Gereja Katolik pernah dibicarakan di mahkamah jenayah Vatican, dihukum penjara lima tahun setengah pada Disember 2023. Beliau bagaimanapun menafikan segala tuduhan dan kini bebas sementara menunggu rayuan.

“Demi kebaikan gereja, saya memutuskan untuk menurut kehendak Paus Francis seperti yang selalu saya lakukan dan tidak menyertai konklaf, meskipun saya tetap yakin dengan ketidakbersalahan saya,” katanya dalam kenyataan.

Pope Francis, yang mangkat pada 21 April lalu, telah memecat Becciu daripada jawatan kanan di Vatican pada 2020 atas dakwaan pecah amanah. Walaupun Becciu dibenarkan mengekalkan gelaran keagamaan dan kediaman di Vatican, beliau dilucutkan hak-hak yang berkait dengan status kardinal.

Kenyataan tersebut sebelum ini menimbulkan persoalan sama ada beliau masih layak untuk menyertai konklaf.

Para kardinal dari seluruh dunia kini sedang berkumpul di Vatican, mengadakan perbincangan mengenai masa depan Gereja Katolik sejagat sebelum proses pemilihan rasmi dimulakan.-REUETRS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE