SYDNEY, 29 April- Perbicaraan seorang wanita yang dituduh membunuh tiga individu warga emas selepas didakwa menghidangkan makan tengah hari mengandungi cendawan beracun bermula hari ini di Australia, ketika pihak pendakwa menggugurkan tuduhan cubaan membunuh terhadap suaminya.
Erin Patterson, 49 tahun, didakwa membunuh ibu mentuanya Gail Patterson, bapa mentua Donald Patterson, serta adik kepada Gail, Heather Wilkinson.
Wanita itu juga berdepan tuduhan cubaan membunuh Ian Wilkinson, suami kepada Heather.
Kesemua mangsa dikatakan jatuh sakit selepas menikmati makan tengah hari yang disediakan tertuduh di kediamannya di Leongatha, sebuah pekan kecil dengan kira-kira 6,000 penduduk yang terletak kira-kira 135 kilometer dari Melbourne.
Pendakwa raya mendakwa cendawan beracun itu dihidangkan sebagai sebahagian daripada hidangan ‘beef Wellington’ sejenis daging lembu dibalut pastri.
Seramai 15 orang juri telah dipilih di Mahkamah Majistret Latrobe Valley di Morwell hari ini dan hujah pembukaan dijangka bermula pagi Rabu.
Hakim Christopher Beale memaklumkan kepada mahkamah bahawa pertuduhan berkaitan cubaan membunuh suami tertuduh, Simon Patterson, telah digugurkan oleh pihak pendakwa.
“Pertuduhan itu telah digugurkan dan anda mesti lupakan terus perkara itu daripada fikiran,” katanya kepada para juri.
Erin Patterson bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan yang dikenakan.
Kes tersebut menjadi tumpuan luar biasa, bukan sahaja di Australia tetapi turut mendapat perhatian media antarabangsa.
Enam tempat duduk di mahkamah diperuntukkan khas kepada petugas media menerusi undian harian, manakala puluhan lagi dijangka mengikuti prosiding secara langsung dari bilik tontonan khas yang disediakan mahkamah.
Penyiar nasional ABC turut menerbitkan podcast harian sepanjang perbicaraan yang dijangka berlangsung selama lima hingga enam minggu.
Sementara itu, perkhidmatan penstriman Stan pula telah memulakan produksi dokumentari yang disifatkan sebagai antara kes jenayah paling berprofil tinggi dalam sejarah moden Australia.-REUTERS