NEW YORK, 29 April- Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump bersetuju untuk mengurangkan kesan tarif ke atas pembuat kereta yang telah dikenakan pelbagai levi.
Tindakan itu dilakukan menjelang perhimpunan Trump yang dirancang pada Selasa berhampiran Detroit menandakan 100 hari pertama beliau memegang jawatan Presiden AS.
Menurut The Wall Street Journal, peralihan itu bermakna syarikat yang membayar 25 peratus tarif ke atas import kereta tidak akan membayar duti lain, seperti yang dikenakan ke atas keluli dan aluminium.
Pentadbiran Trump juga membenarkan beberapa pembayaran balik ke atas alat ganti kereta asing, levi yang sepatutnya berkuat kuasa pada 3 Mei.
Pembuat kereta AS adalah antara sektor paling teruk terjejas kerana tarif menjejaskan import dari Mexico dan Kanada.
Pembuat kereta Detroit mengekalkan pelaburan dalam pasaran tersebut selepas Trump melakukan rundingan semula Perjanjian Perdagangan Bebas Amerika Utara semasa penggal pertamanya.
Penganalisis juga memberi amaran bahawa tarif boleh menyebabkan harga lebih tinggi, menjejaskan jualan kereta AS dan mengancam sektor pekerjaan.
Setiausaha Perdagangan AS Howard Lutnick berkata Trump membuka ruang kepada syarikat tempatan selain menyediakan landasan kepada pengilang dalam pelaburan di Amerika.
Pembuat kereta AS mengalu-alukan perubahan itu.
"Kami berterima kasih kepada Presiden Trump atas sokongannya terhadap industri automotif AS dan berjuta-juta rakyat Amerika yang bergantung kepada kami," kata Ketua Eksekutif General Motors Mary Barra.- AFP