BEIJING, 29 April- China menyalahkan dasar tarif Amerika Syarikat (AS) sebagai punca keputusan Beijing untuk menghentikan penerimaan pesawat baharu syarikat penerbangan gergasi Boeing.
Tindakan itu dilihat akan "mengganggu pasaran pengangkutan udara antarabangsa.
"Tarif Amerika Syarikat itu menjejaskan kestabilan rantaian industri dan bekalan global secara serius.
"Beberapa syarikat penerbangan China dan juga Boeing di Amerika Syarikat telah mengalami kerugian besar," menurut jurucakap Kementerian Perdagangan China dalam satu kenyataan.
AS sebelum ini mengenakan tarif baharu hingga 145 peratus ke atas pelbagai produk dari China, sementara Beijing pula membalas dengan tarif sebanyak 125 peratus ke atas barangan import dari AS.
Ketua Pegawai Eksekutif Boeing, Kelly Ortberg, mengesahkan minggu lalu bahawa China telah menghentikan penerimaan pesawat baharu disebabkan perang perdagangan antara kedua-dua negara.
Dalam satu temu bual yang disiarkan di saluran CNBC, Ortberg menyatakan pelanggan dari China telah “berhenti menerima penghantaran pesawat disebabkan persekitaran tarif semasa”, sambil menambah bahawa jika keadaan itu berterusan, Boeing akan memasarkan pesawat tersebut kepada syarikat penerbangan lain.
Boeing sebelum ini merancang untuk menghantar kira-kira 50 pesawat ke China pada tahun 2025, namun Ortberg berkata syarikat itu tidak akan “menunggu terlalu lama” sebelum mengalihkan pesawat berkenaan ke pasaran lain.
Presiden AS, Donald Trump turut mengkritik tindakan Beijing kerana "menarik diri daripada perjanjian", dan menyarankan agar Boeing "mengisytiharkan kegagalan terhadap China kerana enggan menerima pesawat yang telah siap sepenuhnya."
Bagaimanapun Kementerian Perdagangan China menyatakan "banyak syarikat tidak dapat menjalankan aktiviti perdagangan dan pelaburan seperti biasa" disebabkan Washington mengenakan tarif.
"China tetap bersedia untuk menyokong kerjasama perniagaan yang normal antara syarikat dari kedua-dua negara," kata jurucakap kementerian.
Beijing juga berharap agar Amerika Syarikat "mendengar suara para pengusaha dan mewujudkan persekitaran stabil serta boleh dijangka untuk perdagangan dan pelaburan biasa."- AFP