FRANKFURT, 29 April- Gergasi barangan sukan Jerman, Adidas, memberi amaran bahawa tarif dikenakan oleh Presiden AS, Donald Trump, dijangka menyebabkan kenaikan harga produknya di pasaran Amerika Syarikat dan mungkin memberi kesan kepada momentum pemulihan syarikat.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif, Bjorn Gulden, Adidas telah mengurangkan eksport dari China ke AS “ke tahap minimum”, namun masih terdedah kepada tarif tinggi yang dikenakan terhadap produk dari China.
“Apa yang lebih membimbangkan ialah peningkatan tarif umum AS ke atas produk dari semua negara asal lain, yang akhirnya akan menaikkan kos bagi semua produk kami di pasaran AS,” jelas Gulden.
Beliau turut menyatakan sukar buat masa ini untuk menganggarkan sejauh mana harga akan naik atau kesannya terhadap permintaan pengguna.
Sebahagian besar pengeluaran Adidas berpangkalan di negara Asia seperti Vietnam, Indonesia dan Bangladesh. Pasaran AS merupakan penyumbang penting, merangkumi lebih 20% daripada jumlah jualan tahun lalu.
Tarif baharu tersebut menjelma ketika Adidas baru menunjukkan pemulihan selepas krisis yang tercetus susulan penamatan kerjasama dengan penyanyi rap AS, Kanye West.
Kolaborasi itu telah menghasilkan rangkaian kasut Yeezy yang popular namun dihentikan selepas West membuat kenyataan anti-Semitik, sekali gus menjejaskan sumber pendapatan utama syarikat.
Dalam tempoh Januari hingga Mac, Adidas mencatat lonjakan keuntungan bersih kepada €428 juta (AS$488 juta), melebihi jangkaan penganalisis, dengan jumlah jualan meningkat kepada €6.1 bilion.
Gulden berkata, prestasi kukuh itu biasanya akan mendorong semakan naik unjuran syarikat, namun Adidas mengambil pendekatan berhati-hati dan mengekalkan ramalan keuntungan operasi antara €1.7 bilion hingga €1.8 bilion untuk tahun ini.
Bagaimanapun, beliau menegaskan terdapat ketidaktentuan yang boleh memberi tekanan negatif ke atas prestasi syarikat menjelang hujung tahun.-AFP